Lima cadangan untuk memulakan sidang Parlimen yang tidak akan dilupakan dalam sejarah negara
Saya telah cadangkan supaya sidang parlimen selama tujuh minggu yang bakal bermula dua minggu lagi dijadikan satu sidang yang tidak dapat dilupakan dengan memulakan inisiatif reformasi institusi di Malaysia untuk mencapai sasaran berkembar menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia dan mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara hebat dunia.
Mesyuarat Kabinet esok patut mempertimbangkan kemungkinan untuk membentuk jawatankuasa Kabinet untuk menjadikan sidang Parlimen yang akan datang dalam dua minggu lagi dan sidang Parlimen selama tiga minggu pada bulan Jun sebagai sidang Parlimen yang tidak akan dilupakan dalam sejarah Malaysia.
Saya ada lima cadangan untuk menjayakan perkara ini:
- Bentangkan laporan-laporan dari Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC), dan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) kepada Parlimen sebagai kertas putih.
- Bentangkan Rang Undang-undang untuk menghadkan penggal perkhidmatan dan kuasa Perdana Menteri; untuk memisahkan pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya; dan untuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen untuk menjamin martabat dan kebebasan Parlimen.
- Menegakkan doktrin pemisahan kuasa dan perkenalkan rang undang-undang untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk memastikan pelantikan hakim, termasuklah Ketua Hakim, dan pelantikan-pelantikan utama kehakiman, bebas dari pengaruh Perdana Menteri dan mencerminkan kepelbagaian, bersifat inklusif, serta mencerminkan demografi negara dalam setiap aspek.
- Meningkatkan hari Parlimen bersidang dari 71 hari pada 2023 kepada minima 100 hari setahun supaya semua keperluan reformasi legislatif dapat dijalankan dan supaya adanya sistem jawatankuasa pilihan khas parlimen (JKPK) yang aktif untuk menjadi semak imbang yang berkesan kepada pihak Eksekutif.
- Meluluskan Rancangan Integriti Malaysia yang bakal menjadi panduan untuk Malaysia menjadi salah satu dari negara terbaik di dunia dari segi integriti awam, dan bukannya ditinggalkan di belakang satu demi satu negara dalam usaha membanteras rasuah.
Jawatankuasa-jawatankuasa ini dibentuk pada tahun 2018 semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, untuk mendapatkan pandangan pelbagai pertubuhan sivil untuk mengukuhkan lagi sistem pentadbiran dan kedaulatan undang-undang dalam negara.
Setahu saya, Laporan dari CEP, IRC, dan ERC ini tidak pernah dibentangkan dalam Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan walaupun laporan-laporan ini disiapkan dan dihantar kepada Perdana Menteri sebelum kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan melalui konspirasi politik Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020.
Mengapakah perkara yang berkepentingan awam dengan ratusan cadangan yang berkaitan dengan perkara hal ehwal pentadbiran, integriti, dan rasuah sebegini perlu dirahsiakan?
Saya mengulangi seruan saya pada Oktober 2019 sebelum ini dan sekali lagi mencadangkan supaya laporan-laporan CEP, IRC, dan ERC dibentangkan kepada sidang Parlimen pada 13 Februari sebagai Kertas Putih untuk membolehkan Ahli-ahli Parlimen dan orang awam untuk mempertimbangkan merit dan kelemahan laporan-laporan ini.