Saya bersetuju dengan Musa Hitam yang mengatakan masa tidak berpihak kepada kerajaan perpaduan Anwar dan kerana inilah sidang Parlimen yang bakal berlangsung dalam masa dua minggu dari sekarang perlu dijadikan sidang Parlimen yang paling diingati dengan dalam sejarah negara dengan memulakan reformasi institusi
Saya bersetuju dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam, yang mengatakan bahawa masa tidak memihak kepada kerajaan perpaduan Anwar, kerana inilah sidang Parlimen selama tujuh minggu yang bakal berlangsung dua minggu dari sekarang perlu dijadikan sidang yang paling diingati dalam sejarah dengan memulakan usaha-usaha reformasi institusi.
Dalam ucapannya semasa sidang syarahan mengenai “Penetapan Semula Ekonomi Malaysia” di Parlimen pada malam Jumaat lepas, Musa mengatakan yang masa untuk kerajaan perpaduan Anwar bercakap mengenai pelbagai isu yang dihadapi negara telah berlalu dan kini adalah masanya untuk mengambil tindakan proaktif untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.
Merujuk kepada ucapan yang diberikan oleh Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli, Musa menyatakan keraguannya terhadap kestabilan politik dan menjangka yang orang awam hanya akan memberikan tiga ke enam bulan kepada kerajaan perpaduan Anwar.
Musa mengatakan: “Selepas itu, mereka tidak akan bersopan santun dengan anda”
Musa memberikan amaran yang dalam politik Malaysia, “mereka tidak sama sekali dapat pasti dengan apa yang menanti mereka”.
Kerajaan perpaduan Anwar mula dengan baik dalam dua bulan yang lepas, tetapi seperti yang dikatakan oleh Musa, masanya telah tiba untuk tindakan dan bukan hanya percakapan.
Tambahan lagi, inilah pengajaran yang perlu dihayati oleh kerajaan perpaduan Anwar dari kerajaan Pakatan Harapan yang hanya bertahan selama 22 bulan sebelum ini sebelum ditumbangkan melalui konspirasi politik Langkah Sheraton dan disusuli oleh dua kerajaan “pintu belakang” selama 31 bulan.
Kebanyakan Menteri-menteri Pakatan Harapan ketika itu tidak menjangkakan yang kerajaan akan ditumbangkan sebelum setengah penggal dan mereka memikirkan yang mereka ada penggal yang penuh untuk memenuhi janji-janji pilihan raya mereka.
Kerajaan perpaduan Anwar perlu mempunyai pemikiran yang penggal mereka mungkin berakhir pada bila-bila masa walaupun mereka berniat untuk berkhidmat sepenuh penggal lima tahun mereka. Kerana inilah mereka perlu mula melaksanakan cadangan-cadangan utama mereka dalam enam ke 12 bulan yang pertama.
Ujian besar terdekat untuk kerajaan perpaduan Anwar akan datang dalam bentuk enam pilihan raya negeri di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu yang bakal berlangsung dalam beberapa bulan yang akan datang.
Saya sentiasa berasa ragu-ragu dengan perbualan mengenai “gelombang hijau” dalam Pilihan Raya Umum ke-15 sebelum ini, tetapi perkembangan politik baru-baru ini kelihatan seperti telah memberikan tenaga kepada Perikatan Nasional.
Kerajaan perpaduan Anwar perlu memberikan pertimbangan yang serius terhadap pelbagai cabaran yang berpotensi memendekkan penggal lima tahunnya, walaupun tidak ada sebarang alternatif politik kepada kerajaan perpaduan Anwar yang mampu untuk melaksanakan dua tanggungjawab besar kepada negara – pertamanya untuk menyatukan negara majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya dan keduanya untuk menetapkan semula dan mengembalikan Malaysia kepada dasar-dasar asal pembinaan negara supaya Malaysia dapat mengambil tempatnya dalam kalangan negara-negara hebat dunia dan bukannya menjadi sebuah negara yang gagal, berpecah belah, dan kleptokratik.