Malaysia telah ditinggalkan di belakang lima negara sejak TI CPI mula diterbitkan buat pertama kali pada tahun 1995. Adakah kita akan ditinggalkan di belakang lapan negara lain, termasuklah Indonesia, China, dan India menjelang penghujung dekad ini?
Saya bimbang menantikan penerbitan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2022 pada hari Selasa ini.
Malaysia telah ditinggalkan di belakang lima negara sejak TI CPI mula diterbitkan buat pertama kali pada tahun 1995. Adakah kita akan ditinggalkan di belakang lapan negara lain, termasuklah Indonesia, China, dan India menjelang penghujung dekad ini?
Sekiranya prestasi Malaysia dalam TI CPI 2022 lebih buruk berbanding dengan TI CPI 2021, perkara ini menunjukkan perjuangan sukar yang akan dihadapi oleh kerajaan perpaduan Anwar untuk membanteras rasuah.
Dalam TI CPI 1995, Malaysia berada di tempat ke-23 dengan markah 5.28/10. Kita telah ditinggalkan di belakang lima buah negara berbanding dengan keadaan negara kita pada tahun 1995 – kini berada di belakang Taiwan, Korea Selatan, Sepanyol, Itali, dan Greece.
Kini, kita berada di tempat ke-62 dari 180 buah negara yang ditinjau dengan markah 48/100 – markah yang terendah yang pernah kita catatkan.
Apakah yang bakal diterima kita dalam TI CPI 2022 – adakah Malaysia akan jatuh lebih rendah dari tempat ke-62 dengan markah yang lebih rendah berbanding dengan 47/100 yang diterima pada tahun 2017 dan 2018 semasa pemerintahan kerajaan kleptokratik Najib?
Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini berjaya mengubah keadaan dan mencapai markah terbaik dalam 25 tahun, di mana kita berjaya meraih kedudukan di tempat ke-51 dari 180 buah negara dengan markah 53/100.
Kerajaan ini meletakkan Malaysia ke arah menjadi salah satu dari 30 negara terbaik dunia dari segi integriti awam sebelum tahun 2030, tetapi usaha ini tidak diteruskan oleh dua kerajaan “pintu belakang” Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri yang muncul selepas konspirasi politik Langkah Sheraton. Kini kita jatuh ke tempat ke-62 dengan markah 48/100.
Dari siri 27 tahun penerbitan TI CPI, Malaysia bakal ditinggalkan di belakang lapan negara lain menjelang penghujung dekad ini melainkan kita meningkatkan usaha membanteras rasuah kita – negara-negara seperti China, Hungary, India, Colombia, Argentina, Brazil, Indonesia, dan Turkiye.
Dalam penerbitan kedua TI CPI 1996, yang meneliti 54 buah negara, Malaysia merupakan negara teratas dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), tetapi dalam TI CPI 2021, kita telah ditinggalkan di belakang Qatar, Arab Saudi, dan Jordan.
Menjelang penghujung dekad ini, hala tuju negara kita menunjukkan yang kita bakal ditinggalkan di belakang 11 lagi negara-negara OIC – Tunisia, Kuwait, Senegal, Bahrain, Maldives, Guyana, Morocco, Suriname, Indonesia, dan Turkiya – sekiranya tidak ada tindakan drastik diambil untuk membanteras rasuah.
Kita tidak mahu Malaysia menjadi apa dikatakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, “sebuah negara perompak yang dipimpin perompak” dan kerana inilah penting untuk sidang Parlimen yang bakal bermula dalam masa dua minggu lagi meletakkan rancangan baharu untuk Malaysia menjadi salah satu negara terbaik di dunia dari segi integriti awam dan melawan rasuah.
Saya menyokong seruan dari G25 supaya Laporan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) diterbitkan – jawatankuasa ini dibentuk pada tahun 2018 semasa pentadbiran Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad untuk mendengar pandangan pelbagai pertubuhan masyarakat sivil untuk memperkasakan sistem pentadbiran dan kedaulatan undang-undang.
Sekarang sudah terlalu lewat untuk kerajaan perpaduan Anwar berbuat apa-apa untuk menambah baik kedudukan Malaysia dalam laporan TI CPI 2022, tetapi kerajaan perpaduan Anwar perlu melakukan segala yang terbolehnya untuk memastikan laporan TI CPI 2023 yang bakal diterbitkan tahun hadapan menjadi TI CPI yang terbaik untuk Malaysia, malah lebih baik berbanding dengan TI CPI 2019 sebelum ini.
Sidang Parlimen Februari/Mac perlu membincangkan dan melaksanakan rancangan integriti awam baharu untuk menjadikan Malaysia salah satu daripada 30 negara terbaik di dunia dari segi integriti awam.