Maklum balas dari PAS Selangor menimbulkan persoalan sama ada Presiden PAS, Hadi Awang, menghormati semua budaya, kepercayaan, dan tradisi kaum-kaum lain dan menyokong pembelajaran mengenai semua tamadun dan bukan sahaja tamadun Islam di sekolah
Sebagai tindakan terhadap memorandum Amanah kepada Sultan Selangor yang menggesa siasatan terhadap Presiden PAS kerana ekstremisme keagamaan, PAS Selangor semalam mendakwa yang mereka menentang ekstremisme perkauman dan keagamaan dan menghormati semua budaya, kepercayaan, dan tradisi kaum-kaum lain.
Perkara ini menimbulkan persoalan, kerana isu sebenarnya adalah sama ada Hadi menghormati semua budaya, kepercayaan, dan tradisi kaum-kaum lain dan menyokong supaya ilmu mengenai semua tamadun — bukan hanya tamadun Islam — diajar di sekolah.
DAP tidak menganggap semua pemimpin dan ahli-ahli PAS sebagai ekstremis seperti Hadi, kerana inilah pemimpin DAP merangkap Menteri Belia dan Sukan, Hannay Yeoh, memberikan penghormatan terakhir kepada bekas pesuruhjaya PAS Selangor, arwah Dr Abdul Rani Osman, yang merupakan seorang “teman rapat” dan seorang “hamba Allah yang baik”.
Para pemimpin DAP juga menghormati ramai pemimpin-pemimpin PAS sebelum ini, seperti Nik Aziz Nik Mat, Fadzil Noor, dan Yusuf Rawa kerana mereka semua ini menghormati ciri-ciri pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya di Malaysia.
Nik Aziz, Fadzil Noor, dan Yusuf Rawa tidak menuduh DAP sebagai mempromosikan Islamofobia seperti yang dibuat Hadi Awang.
Selepas membuat tuduhan tidak masuk akal mengatakan DAP sebagai mempromosikan Islamofobia, walaupun DAP adalah sebahagian dari Kerajaan Persekutuan dan enam kerajaan negeri, Hadi gagal untuk memberikan satu pun bukti dalam dua bulan yang lepas untuk fitnahnya ini.
Bolehkah Hadi nyatakan, bilakah DAP mula mempromosikan Islamofobia?
Adakah sejak tahun 1977 di mana DAP membantu PAS di Parlimen apabila Barisan Nasional cuba menendang parti tersebut dari mentadbir Kelantan semasa Darurat Kelantan 1977, seperti yang diceritakan Hadi semasa Pilihan Raya Kecil Teluk Intan pada Mei 2014?
Atau adakah semasa zaman Pakatan Rakyat selama tujuh tahun, dari 2008 hingga 2015, apabila DAP enggan untuk menyokong cadangan PAS untuk calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat dari Anwar Ibrahim kepada Hadi?
Adakah Hadi telah menghantar laporan kepada Pemerhati Islamofobia Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) — yang mencerap insiden Islamofobia setiap hari di seluruh dunia — mengenai kejadian Islamofobia di Malaysia, dan jika tidak, mengapa?
Adakah Hadi sedar yang tuduhan mempromosi Islamofobia ini adalah satu tuduhan yang berat dan bukan perkara main-main, dan sekiranya dia gagal untuk membuktikan tuduhan yang serius seperti ini, dia perlulah merendah diri, tarik semula tuduhan ini, dan meminta maaf?
Sejak dari tuduhan Hadi ini dibuat, telah ada satu contoh jelas Islamofobia, di mana ahli politik pelampau kanan Sweden, Rasmus Paludan, membakar senaskhah Quran di Stockholm pada hari Ahad.
Seminggu telah berlalu, mengapa Hadi masih belum mengecam perbuatan terkutuk ini, membiarkan kuncu-kuncunya dalam PAS sahaja untuk mengecam perbuatan ini? Bolehkah Hadi jelaskan mengapa?
Adakah dia menerima kelima-lima prinsip Rukun Negara?
Hadi meninggalkan banyak persoalan yang tidak terjawab. Bilakah dia akan menjawab persoalan-persoalan ini?
Dan akhir sekali, soalan kepada PAS Selangor: adakah mereka menerima pendirian rasis Hadi atau pendirian Islam mengenai rasuah — di mana Hadi mengatakan golongan orang bukan Islam sebagai punca rasuah dan mengatakan pemberian wang tunai semasa pilihan raya adalah satu bentuk sedekah dan bukannya rasuah?