Masanya telah tiba untuk Hadi menyatakan pendiriannya terhadap pelbagai isu seperti rasuah, Islamofobia, dan perpaduan negara dan bukannya membiarkan orang bawahannya untuk memberikan penjelasan yang tidak memuaskan
Masanya telah tiba untuk Presiden PAS, Hadi Awang menyatakan pendiriannya terhadap pelbagai isu seperti rasuah, Islamofobia, dan perpaduan negara dan bukannya membiarkan orang bawahannya untuk memberikan penjelasan yang tidak memuaskan.
Sehingga hari ini, Hadi telah menunjukkan pendirian yang tidak dapat dipastikan mengenai isu-isu penting seperti rasuah, Islamofobia, dan perpaduan negara.
Bolehkah dia menyatakan pendiriannya dengan jelas mengenai perkara-perkara ini?
Mengenai rasuah, dia telah mengambil pendirian yang bersifat rasis dan bukannya pendirian yang Islamik, menyalahkan golongan bukan Islam kononnya sebagai punca rasuah dan menyatakan yang pemberian wang tunai semasa pilihan raya merupakan satu perbuatan sedekah dan bukannya satu bentuk rasuah.
Hadi juga telah membuat tuduhan tidak masuk akal dengan mengatakan DAP sebagai mempromosikan Islamofobia, tetapi dia telah gagal untuk memberikan satu sekalipun contoh untuk tindakan ini dalam dua bulan yang lepas.
Daripada mengakui kesilapannya ini, Hadi sebaliknya menambah lagi dan melebarkan takrifan Islamofobia sehingga menjadi tidak masuk akal, mengatakan yang Islamofobia adalah usaha untuk menghentikan “Islam yang sebenar” dari berkuasa dan mentadbir negara.
Mengikut takrifan baru Hadi, Bersatu dan Gerakan juga bersalah mempromosikan Islamofobia kerana mereka bukan sahaja tidak mahu Hadi menjadi Perdana Menteri, tetapi mereka juga tidak mahu Hadi menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen walaupun PAS mempunyai lebih banyak kerusi Parlimen berbanding dengan Bersatu.
Adakah Hadi layak untuk menentukan berapa banyak dari 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengamalkan “Islam yang sebenar”?
Hadi telah menjadi Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah untuk dua orang Perdana Menteri “pintu belakang”, tetapi dia tidak sedar mengenai kewujudan Badan Pemerhati Islamofobia OIC yang terletak di Arab Saudi yang memerhati insiden-insiden Islamofobia di seluruh dunia untuk setiap hari dan bahawa badan pemerhati ini tidak pernah mengatakan apa-apa mengenai insiden Islamofobia di Malaysia dalam 14 laporan tahunannya yang diterbitkan sejak tahun 2007.
Sejak dari tuduhan Hadi ini dibuat, telah ada satu contoh jelas Islamofobia, di mana ahli politik pelampau kanan Sweden, Rasmus Paludan, membakar senaskhah Quran di Stockholm pada hari Ahad.
Perdana Menteri telah mengecam tindakan Paludan. Saya juga telah mengecam tindakan Paludan. Para pemimpin bawahan PAS juga telah mengecam Paludan. Tetapi Hadi diam seribu bahasa. Mengapa?
Apakah pendirian Hadi terhadap usaha mempromosikan persefahaman, keharmonian, dan keamanan antara masyarakat pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya di Malaysia?
Adakah dia menerima kelima-lima prinsip Rukun Negara?
Adakah dia menerima aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”, memandangkan Malaysia berada di titik pertemuan empat tamadun hebat dunia — Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat — dan tidak ada sebab untuk aspirasi Tunku ini gagal dicapai sekiranya kita semua menggunakan nilai-nilai terbaik dari keempat-empat tamadun hebat dunia ini.