Hadi kini semakin melampau, dari sebelum ini membuat tuduhan tidak masuk akal yang kononnya DAP mempromosikan Islamofobia, kini dia membuat tuduhan yang lagi tidak masuk akal dengan mengatakan kebanyakan negara OIC mempromosikan Islamofobia
Presiden PAS, Hadi Awang, telah menambahkan lagi penipuannya, di mana sebelum ini dia membuat tuduhan tidak masuk akal yang mengatakan DAP mempromosikan Islamofobia, kini dia cuba mengatakan tuduhan yang lagi tidak masuk akal dengan mengatakan yang kebanyakan negara OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) juga mempromosikan Islamofobia.
Hadi pada mulanya membuat tuduhan jahat yang mengatakan DAP mempromosikan Islamofobia dua bulan lepas, dan sehingga hari ini, dia gagal memberikan sebarang bukti untuk tuduhannya ini, yang menjadi bukti bahawa tuduhan ini tidak berasas sama sekali.
Tetapi, Hadi memilih untuk membesarkan lagi penipuannya ini dengan membuat takrifan baru Islamofobia yang sangat luas dan tidak masuk akal, menyatakan yang Islamofobia digunakan untuk menghentikan “Islam yang sebenar” dari berkuasa dan mentadbir negara.
Mengikut takrifan Hadi ini, mana-mana orang atau parti politik yang melawannya dari menjadi Perdana Menteri Malaysia bersalah melakukan Islamofobia.
Bukan DAP sahaja yang menentang Hadi dari menjadi Perdana Menteri Malaysia, sebaliknya, parti-parti Perikatan Nasional seperti Bersatu dan Gerakan juga menolak Hadi dari menjadi Perdana Menteri Malaysia. Malah, mereka menolak untuk meletakkan Hadi dari menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen walaupun PAS mempunyai lebih banyak kerusi berbanding dengan Bersatu.
Hadi telah menjadi Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah untuk dua orang Perdana Menteri “pintu belakang”, tetapi dia kelihatan seperti tidak sedar mengenai kewujudan Badan Pemerhati Islamofobia OIC yang terletak di Arab Saudi yang memerhati insiden-insiden Islamofobia di seluruh dunia untuk setiap hari.
Saya tidak terkejut sekiranya Hadi tidak pernah melawat badan pemerhati ini kerana Hadi dianggap sebagai seorang individu yang tidak dialu-alukan di Arab Saudi, kerana kerajaan Arab Saudi menganggap Hadi sebagai pemimpin sebuah pertubuhan keganasan.
Adakah Hadi sudah membelek laporan tahunan Pemerhati Islamofobia OIC yang diterbitkan sejak daripada tahun 2007, di mana tidak ada satu pun laporan ini menunjukkan kejadian Islamofobia di Malaysia.
Adakah Hadi sudah menyampaikan laporan kepada Pemerhati Islamofobia OIC mengenai isu Islamofobia di Malaysia? Jika tidak, mengapa?
Biarlah Hadi jawab, berapa banyak dari 57 negara ahli OIC mengamalkan “Islam yang sebenar” dan berapa banyak pula dari negara-negara ini yang bersalah mempromosikan Islamofobia mengikut takrifan baharunya ini.
Adakah Hadi cuba mengatakan yang kebanyakan negara OIC mengamalkan “Islam yang sebenar”?
Saya telah mengecam ahli politik kanan pelampau, Rasmus Paludan, yang membakar senaskhah Quran di Stockholm pada hari Ahad lepas.
Saya belum melihat apa-apa kecaman terhadap perbuatan Paludan yang jijik dan melampau ini dari Hadi. Mengapakah begini?
Hadi kini muncul sebagai seorang demagog Paludan yang berada di penghujung satu spektrum yang sama — yang menggunakan ucapan kebencian, penipuan, dan fitnah — untuk menghasut membawa kebencian, syak wasangka, dan polarisasi perkauman dan keagamaan.
Kedua-dua badan politik dalam negara dan masyarakat antarabangsa tidak boleh membiarkan golongan seperti Paludan dan Hadi untuk terus berleluasa menyalah guna ucapan kebencian, penipuan, dan fitnah untuk meracuni persefahaman, keharmonian, dan keamanan antara kaum dan agama di dalam dan di luar negara.