Menyokong kecaman Anwar terhadap ahli politik haluan kanan pelampau di Sweden, Rasmus Paludan, yang membakar senaskah Quran di Stockholm
Saya menyokong penuh kecaman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, terhadap ahli politik haluan kanan pelampau di Sweden, Rasmus Paludan, yang membakar senaskah Quran di Stockholm pada hari Ahad yang lepas.
Perkara ini bukan sahaja merupakan satu perbuatan yang mencemarkan kitab suci agama Islam, tetapi juga merupakan satu bentuk ucapan kebencian yang tidak dapat diwajarkan sebagai “kebebasan bersuara” dalam mana-mana masyarakat yang bertamadun, seperti mana tindakan pembakaran tidak dapat diwajarkan.
Dalam dunia global yang semakin rapat akibat dari kemajuan teknologi, etos antarabangsa baharu yang perlu kita bangunkan perlulah diasaskan kepada pemahaman, keharmonian, dan keamanan antara etnik, agama, dan budaya, dan bukannya perkara yang sebaliknya seperti yang dikehendaki oleh Paludan.
Turkiye, Arab Saudi, Pakistan, Kuwait, dan Iran adalah antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah mengejamkan perbuatan terkutuk dan keji oleh Paludan ini, dan OIC telah mengecam “tindakan provokasi” Paludan ini sebagai petunjuk Islamofobia yang semakin membimbangkan.
Namun, golongan seperti Paludan ini semakin mengecil di Denmark. Dalam pilihan raya 2019, parti politik yang diasaskan Rasmus Paludan gagal untuk meraih 2% daripada undi minima yang diperlukan untuk menyertai Parlimen Denmark.
Terdapat golongan pelampau dalam semua kumpulan etnik, agama, atau budaya, dan kesihatan masyarakat dalam negara dan di peringkat antarabangsa akan ditentukan oleh dasar yang dibuat untuk memastikan golongan pelampau ini terkawal.
Pembakaran kitab suci agama Islam adalah satu bentuk Islamofobia yang jelas, tetapi pada masa yang sama, tindakan mengada-adakan Islamofobia di mana tidak adanya fenomena ini untuk menimbulkan kebencian dan syak wasangka juga merupakan satu perkara yang tidak bermoral, tidak bertanggungjawab, dan jahat.
Pemerhati Islamofobia OIC yang menjalankan pemerhatian Islamofobia setiap hari di seluruh dunia tidak pernah mendokumenkan Islamofobia di Malaysia tetapi terdapat sesetengah pihak yang cuba menuduh kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri di Malaysia sebagai dipengaruhi dengan Islamofobia.
Semua bentuk ekstremisme yang jahat, tidak bertanggungjawab, dan tidak bermoral seperti ini perlulah dihapuskan sekiranya masyarakat di dalam dan di luar negara berhasrat untuk membangunkan pemahaman, keharmonian, dan keamanan antara etnik, budaya, dan agama yang diperlukan untuk kelangsungan hidup dan kemajuan umat manusia.