Hadi perlu buktikan tuduhannya yang mengatakan DAP anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia atau tarik semula tuduhan ini, jika tidak dia akan dilihat terbukti sebagai seorang pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral yang sanggup membuat pelbagai bentuk fitnah demi kepentingan politik sendiri
Presiden PAS, Hadi Awang, telah mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia dan dia patut buktikan kerajaan Persekutuan dan lima kerajaan negeri mempromosikan Islamofobia atau tarik semula dan akui kesilapannya dalam menuduh DAP mempromosikan Islamofobia.
DAP ada empat orang Menteri, 40 orang Ahli Parlimen, seorang Ketua Menteri, seorang Timbalan Ketua Menteri, 14 orang Exco, 91 Ahli Dewan Undangan Negeri, dan merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan lima Kerajaan Negeri.
Tidak perlu ada reaksi melampau terhadap tuduhan Hadi yang mengatakan DAP mempromosikan Islamofobia, tetapi tidak bermakna kita patut biarkan sahaja tuduhan ini.
Sebagai bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah untuk dua orang Perdana Menteri “pintu belakang” sebelum ini, yang menerima RM60,000 sebulan, Hadi patut sedar yang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mempunyai Badan Pemerhati Islamofobia yang mengikuti perkembangan terkini isu Islamofobia di seluruh dunia untuk setiap hari.
Daripada laporan tahunan Pemerhati Islamofobia OIC yang diterbitkan sejak 2007, tidak ada sebarang bentuk Islamofobia dilaporkan di Malaysia.
Hadi telah gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah apabila dia tidak membuat laporan mengenai Islamofobia di Malaysia kepada Pemerhati Islamofobia OIC.
Sekarang dia patut laporkan insiden Islamofobia di Malaysia ini kepada Pemerhati Islamofobia OIC, bersama-sama dengan bukti-bukti yang ada, atau berhenti mencemarkan nama baik Malaysia, tarik semula tuduhannya ini, dan akui kesilapannya dalam menuduh DAP sebagai mempromosikan Islamofobia.
DAP tidak pernah mempromosikan Islamofobia kerana kita mahu Malaysia untuk memanfaatkan nilai-nilai terbaik dari agama-agama hebat yang bertemu di Malaysia untuk mewujudkan sebuah negara bangsa Malaysia yang bertaraf dunia, yang boleh menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” seperti yang dicita-citakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman.
Sekiranya Hadi tidak dapat buktikan tuduhan tidak masuk akalnya yang cuba mengatakan DAP anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia dan pada masa yang sama tidak bersedia untuk menarik semula dan mengakui kesilapannya, terbuktilah bahawa dia hanya seorang pemimpin politik yang tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab yang sanggup membuat pelbagai fitnah untuk mencemarkan nama baik negara demi kepentingan politiknya.