Hadi perlu buktikan tuduhannya yang mengatakan DAP anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia atau tarik semula tuduhan ini, jika tidak dia akan dilihat terbukti sebagai seorang pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral yang sanggup membuat pelbagai bentuk fitnah demi kepentingan politik sendiri
Presiden Amanah, Mohamad Sabu, telah menggelar Presiden PAS, Hadi Awang, sebagai “penipu terbesar di dunia”.
Bercakap dalam sebuah ceramah di Kuala Kedah pada malam Khamis lepas, Mohamad Sabu mengatakan yang PAS menang sejumlah besar kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dengan mewujudkan persepsi palsu terhadap Pakatan Harapan dan mengatakan:
“Dalam PRU15, PAS menang besar kerana PAS penipu terbesar dalam dunia.
“Seorang penipu terbesar juga merupakan presidennya, Hadi Awang.
“Dia seorang ulama, tetapi di usia tua, dia menjadi seorang penipu dan orang Melayu percaya dengan penipuannya.”
Tiga hari sudah berlalu dan masih belum ada apa-apa jawapan dari Hadi kepada Sabu.
Sudah hampir dua bulan juga berlalu sejak daripada tuduhan berat Hadi yang mengatakan DAP mempromosikan Islamofobia, tetapi dia masih belum dapat memberikan satu contoh pun untuk membuktikan tuduhannya ini.
Hadi merupakan Duta Khas kepada dua Perdana Menteri “pintu belakang” dari tahun 2020 sehingga 2022, menerima kira-kira RM60,000 sebulan, tetapi dia kelihatan seperti tidak sedar yang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mempunyai Badan Pemerhati Islamofobia yang mengikuti perkembangan terkini isu Islamofobia di seluruh dunia untuk setiap hari.
Pemerhati Islamofobia OIC telah menerbitkan laporan tahunan mengenai Islamofobia sejak tahun 2007, tetapi badan ini tidak sedar mengenai apa-apa bentuk Islamofobia di Malaysia.
Adakah Hadi telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Duta Khas dan membuat laporan khas kepada Pemerhati Islamofobia OIC mengenai Islamofobia di Malaysia?
Bilakah DAP mula mempromosikan Islamofobia — semasa DAP mempunyai seorang Ahli Parlimen Melayu pada tahun 1990 atau semasa DAP mempunyai tiga orang Ahli Parlimen Melayu pada tahun 2022?
Atau adakah sebelum Pilihan Raya Umum 2013 apabila DAP enggan mencadangkan Hadi Awang sebagai Calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat?
Perkara ini adalah satu pertuduhan yang amat serius memandangkan DAP adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan Malaysia dan juga sebahagian dari lima kerajaan negeri.
DAP ada empat orang Menteri, 40 orang Ahli Parlimen, seorang Ketua Menteri, seorang Timbalan Ketua Menteri, 14 orang Exco, dan 91 Ahli Dewan Undangan Negeri.
Adakah Hadi sedang membuat satu fitnah yang tidak masuk akal dan tidak bertanggungjawab dalam mengatakan yang Islamofobia adalah sebahagian daripada agenda kerajaan persekutuan dan negeri di Malaysia?
Hadi perlu buktikan tuduhannya terhadap DAP yang mengatakan DAP anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia atau tarik semula tuduhan ini, jika tidak, dia akan dibuktikan sebagai seorang pemimpin politik yang tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab yang sanggup membuat pelbagai bentuk fitnah demi kepentingan politiknya sendiri — seorang ahli politik yang sanggup mengetepikan kepentingan negara demi negara kepentingan politik peribadinya.