Paradoks terbesar di Malaysia — perpaduan negara dari Malaysia majmuk

Ada satu paradoks terbesar di Malaysia — untuk mencapai perpaduan negara dari kepelbagaian masyarakat majmuk di Malaysia.

Kita telah bercakap tentang “perpaduan negara” selama enam dekad tetapi kita tidak pernah lebih berpecah belah pada hari ini berbanding dengan sebelum ini dalam sejarah negara.

Lima prinsip Rukun Negara dirangka untuk mencapai “perpaduan yang lebih erat untuk semua rakyat”, tetapi selepas lima dekad, kita ada mereka yang menolak kesemua lima prinsip Rukun Negara menjadi Menteri Kabinet dan golongan mempersoalkan komitmen orang lain terhadap Rukun Negara.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah bertitah bahawa lima prinsip Rukun Negara membentuk formula bagaimana rakyat berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa di Malaysia dapat mengatasi perbezaan dan kepelbagaian kita untuk hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni

Dalam Titah Baginda sempena Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara dan Hari Kebangsaan 2020, Baginda bertitah prinsip teras yang digariskan dalam Rukun Negara bersifat universal yang merentasi nilai-nilai murni semua bangsa dan agama serta boleh untuk menjadi panduan kepada warga sebuah negara yang merdeka.

Baginda menggesa prinsip itu harus dijadikan panduan dan diamalkan oleh semua pihak, termasuk pemimpin negara, kerajaan dan rakyat Malaysia.

Masanya telah tiba untuk menyemarakkan semula rakyat Malaysia dengan jiwa dan semangat Rukun Negara sebagai asas untuk menyatupadukan semula rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bahasa, agama, budaya dan wilayah dalam semua bidang kehidupan negara — dalam politik, pendidikan, ekonomi, kebajikan, alam sekitar, sosiobudaya, sains, teknologi dan inovasi.

Yang di Pertuan Agong sentiasa peka apabila menasihatkan pembentukan kerajaan perpaduan untuk menamatkan krisis politik di negara ini selepas pilihan raya umum ke-15 — untuk melaksanakan penetapan semula prinsip pembinaan negara yang sebelum ini telah menjadi panduan kepada tokoh-tokoh kemerdekaan negara tetapi daripadanya kita telah menyimpang jauh, menyebabkan Malaysia jatuh dari kedudukan sebagai salah sebuah negara terbaik dunia kepada sebuah negara yang biasa-biasa sahaja, ditinggalkan di belakang Taiwan, Singapura, Korea Selatan, Vietnam dan berkemungkinan besar pula ditinggalkan di belakang Indonesia, China dan India sekiranya tidak kembali kepada prinsip-prinsip asas ini.

Raja Perlis, Raja Syed Sirajuddin Putra Jamalullail adalah Raja terbaharu yang bersuara memberi amaran tentang politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman dan keagamaan.

Bulan lepas, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa baginda tidak akan bertolak ansur dengan cubaan untuk mencetuskan kebencian di antara kaum dan agama, yang boleh mencetuskan permusuhan di negerinya, yang mana 2.5 juta penduduknya terdiri daripada 61.5 peratus orang Melayu, 26.7 peratus orang Cina, dan 11.3 peratus orang India yang menganuti pelbagai bentuk kepercayaan agama, mewarisi pelbagai budaya dan mahir dalam pelbagai bahasa.

Percambahan ucapan kebencian di media sosial juga menjadi punca utama kebimbangan.

Yang di-Pertuan Besar of Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menggesa ahli politik supaya berhenti menggunakan isu perkauman atau agama untuk menghasut rakyat Malaysia terhadap satu sama lain.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berpesan kepada semua pihak khususnya ahli politik supaya tidak bergaduh sesama sendiri atau mementingkan kepentingan peribadi sehingga mengabaikan tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat.

Baginda menggesa semua pihak bekerjasama untuk membina semula negara yang semakin pulih daripada pandemik Covid-19 dan mengangkat Malaysia ke tahap yang lebih baik dalam semua aspek termasuk sosial, politik dan ekonomi.

Kepentingan mengekalkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat yang pelbagai di negara ini juga telah menjadi tema konsisten Sultan Johor.

Amat malang apabila lebih 50 tahun selepas Rukun Negara digubal dan nasihat berulang-ulang diberikan oleh Yang di Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, kita masih gagal mencapai perpaduan kebangsaan di Malaysia.

Tugas terbesar kerajaan Anwar adalah untuk mencapai perpaduan negara dari kepelbagaian masyarakat majmuk kita yang telah dilupakan oleh kerajaan terdahulu.

Malaysia hanya boleh berjaya dengan adanya perpaduan negara daripada kepelbagaian kita. Terdapat banyak sebab Wawasan 2020 — rancangan tiga puluh tahun yang digubal pada tahun 1991 — gagal, tetapi salah satu sebabnya adalah pada tahun 2010, Malaysia mempunyai Timbalan Perdana Menteri yang menganggap dirinya sebagai seorang yang “Pertamanya Melayu” dan bukannya “Pertamanya rakyat Malaysia” .

Cabaran terbesar yang dihadapi semua rakyat Malaysia hari ini adalah sama ada kita boleh berjaya untuk mencapai perpaduan negara daripada kepelbagaian masyarakat majmuk yang berbilang kaum, bahasa, agama, budaya, dan kawasan di Malaysia.

Lim Kit Siang Veteran DAP