Adakah Hadi bersifat “Malaysia-fobia”, syak wasangka dan fobia dengan semua perkara yang bersifat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya?
Apa yang dikatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Daniel Ooi, tepat — Malaysia tidak memerlukan “polis moral” untuk menekan peraturan moral mereka terhadap orang lain.
Persoalannya kini adalah sama ada Presiden PAS, Hadi Awang, mengalami penyakit “Malaysiafobia” — satu perasan syak wasangka dan fobia terhadap idea Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk dengan kepelbagaian kaum, bahasa, agama, dan budayanya.
Mungkin salah satu cara untuk memastikan Malaysia tidak terjangkit dengan masalah “Malaysiafobia” adalah untuk para pemimpin agama, bukan sahaja pemimpin politik, untuk menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh agama lain.
Adakah Hadi bersedia, misalnya, untuk menghadiri majlis Hari Krismas, Deepavali, atau Vesak, untuk menunjukkan kepada dunia, walaupun kita berbeza, kita ada persefahaman dan keharmonian di antara agama di Malaysia.
Lagi pun, ke semua majlis-majlis ini telah pun diisytiharkan sebagai cuti umum kebangsaan di Malaysia.
Namun, apa yang lebih penting, formula di mana para pemimpin agama menghadiri sambutan agama-agama lain adalah salah satu cara untuk membangunkan masyarakat global yang lebih aman dan harmoni!
Menjadi satu perkara yang menyedihkan apabila selepas enam dekad membina negara, masih ada pihak yang cuba untuk menjadi “polis moral” terhadap orang lain, dan kita kelihatan seakan-akan telah lupa dengan matlamat Wawasan 2020 untuk mencipta sebuah negara berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya yang dapat menyertai negara-negara maju lain sebagai sebuah negara bertaraf dunia.
Kerana “Malaysiafobia” inilah Wawasan 2020 telah gagal.
Ada yang mengatakan promosi minuman beralkohol adalah satu perkara yang bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang kelima, “Kesopanan dan Kesusilaan”, tetapi adakah para pemimpin PAS, yang diketuai Hadi Awang, menerima dan menyokong kelima-lima prinsip Rukun Negara, terutamanya prinsip ketiga mengenai “Keluhuran Perlembagaan”?