Anwar perlu penuhi komitmen anti-rasuahnya dan menunjukkan hasil dalam masa setahun apabila Transparency International menerbitkan laporan Indeks Persepsi Rasuah 2023 pada bulan Januari tahun hadapan
Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim, perlu memenuhi komitmen anti-rasuahnya dan menunjukkan hasil dalam masa setahun apabila Transparency International (TI) menerbitkan laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 pada bulan Januari tahun hadapan.
Sekarang sudah terlalu lambat untuk Anwar berbuat apa-apa untuk menaikkan kedudukan dan markah Malaysia dalam TI-CPI 2022 yang akan diterbitkan dalam bulan ini — yang berkemungkinan besar akan menjadi TI-CPI terburuk dalam sejarah negara sejak indeks ini diterbitkan 28 tahun yang lalu walaupun kita telah mencatatkan kedudukan yang terbaik di bawah kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2019.
Tidak ada alasan untuk Anwar tidak menambah baik kedudukan dan markah Malaysia dalam TI-CPI 2023, yang akan menandakan perjalanan panjang untuk Malaysia menjadi dalam kalangan 30 negara dengan integriti awam yang terbaik di dunia — melainkan sekiranya kerajaan Anwar ditumbangkan sebelum tahun ini berakhir.
Anwar adalah Perdana Menteri Malaysia yang kelima yang telah bertemu dengan Jokowi sejak beliau menjadi Presiden Indonesia pada tahun 2014.
Sejak tahun 2014, Indonesia telah menambah baik kedudukannya dalam TI-CPI, dari tempat ke-107 dengan markah 34/100 kepada tempat ke-97 dengan markah 38/100 pada tahun 2021, sedangkan Malaysia pula telah jadi dari tempat ke-50 dengan markah 52/100 pada tahun 2014 ke tempat ke-62 dengan markah 48/100 pada tahun 2021.
Dari trajektori kedua-dua negara untuk tujuh tahun yang lepas, Indonesia dijangka memintas kedudukan Malaysia dalam TI-CPI menjelang 2030 dan perkara ini amatlah memalukan memandangkan semasa TI-CPI diterbitkan buat pertama kali pada tahun 1995 dengan hanya 41 negara yang ditinjau, Malaysia berada di tempat ke-23 dengan markah 5.28/10 sedangkan Indonesia berada di tempat terakhir dengan markah 1.94/10.
Ini adalah bidang terpenting yang mana kita telah menyaksikan kemerosotan dalam enam dekad yang lepas, di mana Malaysia telah jatuh dari berada dalam kalangan negara terbaik dunia kepada sebuah negara yang ketinggalan di Asia.
Indonesia bukanlah satu-satunya negara di Asia yang bakal meninggalkan Malaysia belakang. Kita juga sedang berkemungkinan ditinggalkan di belakang China dan India. Pada tahun 2014, China berada di tempat ke-100 dengan 36 markah, tetapi China kini telah meningkat kedudukannya dalam indeks ini ke tempat ke-66 dengan 45 markah, hanya tiga kedudukan di bawah Malaysia.
Walaupun kedudukan India jatuh, dari tempat ke-85 pada tahun 2014 ke tempat ke-86 pada tahun 2021, negara tersebut meningkatkan markahnya dari 38 pada tahun 2014 kepada 40 markah pada tahun 2021.
Pada tahun 1995, kedua-dua India dan China berada di bahagian bawah senarai indeks ini — India berada di tempat ke 35 dengan markah 2.78/10 manakala China berada di tempat kedua terakhir, 40, dengan markah 2.16/10.
Adakah Malaysia bakal ditinggalkan di belakang China, Indonesia, dan India dalam TI-CPI 2030?
Malaysia juga berada dalam bahaya ditinggalkan di belakang Vietnam dan Kemboja. Kedudukan Vietnam telah meningkat dari tempat ke-119 dengan 31 markah pada tahun 2014 ke tempat ke-88 dengan 39 markah pada tahun 2021. Manakal Kemboja pula jatuh dari tempat ke-156 pada tahun 2014 kepada tempat ke-158 pada tahun 2021, tetapi meningkatkan markahnya dari 21 ke 23.
Kita berada dalam kumpulan yang sama dengan Sri Lanka dan Filipina, jauh berbeza dengan Singapura yang merupakan satu-satunya negara Asia dalam kalangan 10 negara terbaik dalam TI-CPI, meningkatkan kedudukannya dari tempat ketujuh pada tahun 2014 ke tempat keempat pada tahun 2021!
Dalam keadaan sebegini, jaminan Anwar apabila dia bercakap kepada rakyat Malaysia di Jakarta yang bahawa dia tidak akan berkompromi dalam perang melawan rasuah, walaupun perkara ini mungkin akan menggugat kedudukannya, amatlah dialu-alukan dan meyakinkan.
Perhimpunan para Menteri pada minggu hadapan dan persidangan Parlimen pada bulan hadapan patut menyaksikan lebih banyak berita mengenai bagaimana Anwar bercadang untuk menghentikan kemerosotan negara dalam arena peperangan melawan rasuah untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 negara yang terbaik di dunia dari segi integriti awam.