Jalan Raja Uda adalah satu-satunya jalan di Malaysia, malah mungkin di dunia, yang memasang 10,000 tanglung sutera merah untuk menyambut kedatangan Tahun Arnab — menandakan pembinaan Malaysia yang berjaya sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia
Majlis pada malam ini untuk menyalakan 10,000 tanglung sutera merah di Jalan Raja Uda, Butterworth, bukan sahaja penting kerana Jalan Raja Uda ini adalah satu-satunya jalan di Malaysia — dan mungkin di dunia — yang ada 10,000 tanglung untuk menyambut kedatangan Tahun Baru Cina yang bakal tiba dua minggu lagi, tetapi acara ini juga menandakan berakhirnya pandemik Covid-19 dan bermulanya usaha untuk menetapkan semula hala tuju negara supaya semua rakyat Malaysia di seluruh dunia dapat berbangga menjadi anak Malaysia.
Selama hampir tiga minggu sejak 17 Disember 2022, kita telah mencatatkan kes dan kematian akibat Covid-19 dalam julat tiga angka dan satu angka — angka yang jauh berbeza dengan apa yang disaksikan semasa Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri pintu belakang yang pertama pada bulan Ogos 2021, di mana ketika itu kita mencatatkan kes harian dan kematian akibat Covid-19 dalam julat lima dan tiga angka.
Marilah kita sama-sama doakan supaya jumlah kes harian akan turun kepada julat dua angka sebelum sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, dengan lebih banyak hari dengan sifar kematian berbanding dengan hari-hari yang ada kematian akibat Covid-19.
Kini, kita ada sebuah kerajaan Persekutuan baharu dengan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan.
Mari kita jadikan majlis malam ini sebagai petanda untuk mengalu-alukan kedatangan era baharu di mana rakyat Malaysia di dalam dan di luar negara dapat berbangga sebagai anak Malaysia dan tidak lagi malu kerana nama Malaysia dikaitkan dengan kleptokrasi dan salah guna kuasa sebelum ini.
Malaysia memerlukan penetapan semula dasar pembinaan negara dan kita perlu belajar daripada kesilapan lepas yang telah membuatkan kita terpesong dari prinsip-prinsip asas pembinaan negara bangsa tokoh kemerdekaan negara — pemesongan yang telah menyebabkan kita gagal untuk mencapai Wawasan 2020 untuk mencipta sebuah Bangsa Malaysia dari kepelbagaian masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya — untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan negara yang berjaya dalam dunia.
Kerana itulah majlis penyalaan 10,000 tanglung sutera merah di Jalan Raja Uda ini amat bermakna dalam menandakan kedatangan permulaan baharu untuk Malaysia.
Malaysia adalah titik pertemuan empat tamadun hebat dunia — Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat — dan kita perlu manfaatkan nilai-nilai terbaik dari keempat-empat tamadun ini untuk membina sebuah negara hebat yang bertaraf dunia.
Kita perlu ambil pengajaran dan nilai-nilai yang terbaik dari keempat-empat tamadun ini dan bukannya perkara-perkara yang tidak baik untuk membina sebuah Malaysia yang dapat dibanggakan oleh kita semua.