Rakyat Malaysia menghembuskan nafas lega apabila usaha menumbangkan kerajaan Hajiji gagal — satu peringatan mengenai kerapuhan kerajaan perpaduan Anwar dan keperluan mendesak untuk kestabilan politik dalam lima tahun yang akan datang untuk Malaysia mula semula menjadi sebuah negara majmuk bertaraf dunia
Rakyat Malaysia menghembuskan nafas lega apabila usaha menumbangkan kerajaan Hajiji gagal — walaupun perkara ini menjadi satu peringatan mengenai kerapuhan kerajaan perpaduan Anwar dan keperluan mendesak untuk kestabilan politik dalam lima tahun yang akan datang untuk Malaysia mula semula menjadi sebuah negara majmuk bertaraf dunia.
Langkah Kota Kinabalu telah menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia, yang mengingatkan kita bahawa kita sudah muak dengan plot dan subplot dalam politik Malaysia, sedangkan apa yang kita perlukan sekarang adalah kestabilan politik untuk lima tahun yang akan datang, untuk membetulkan perkara yang salah yang telah berlaku dalam enam dekad yang lepas.
Kita telah terpesong dari prinsip asal tokoh kemerdekaan negara yang menekankan kepentingan utama untuk membentuk perpaduan dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya, di mana kita menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.
Penting untuk kita ingat, yang kedua-dua Bersatu atau PAS masih tidak pernah mengakui kemerosotan yang berlaku di Malaysia selepas enam dekad usaha membina negara bangsa, di mana kita bukan sahaja ditinggalkan di belakang negara seperti Taiwan, Singapura, Korea Selatan, dan Vietnam dari segi ekonomi, tetapi kita juga bakal ditinggalkan di belakang negara seperti Indonesia, Thailand, dan Kemboja.
Kita telah meluang dua pertiga abad pertama negara dengan merosot dari sebuah negara hebat kepada sebuah negara biasa-biasa sahaja dan kita tidak mahu sepertiga terakhir abad ini dibazirkan dengan Malaysia menjadi sebuah negara berpecah belah, gagal, dan kleptokratik menjelang 2057.
Inilah cabaran terbesar yang dihadapi kita sekarang, untuk membina semula Malaysia sebagai sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia.
Untuk usaha ini dimulakan dan berjaya, kita memerlukan kestabilan politik bagi membolehkan kerajaan Anwar untuk membetulkan kesilapan-kesilapan lepas dan menghentikan penyalah gunaan kuasa yang telah menyebabkan kemerosotan negara kita.
Tetapi, kita juga memerlukan perpaduan daripada kepelbagaian rakyat Malaysia untuk membina semula Malaysia sebagai sebuah negara hebat, bukannya politik toksik yang dibina di atas penipuan, syak wasangka, kebencian, hasutan perkauman, dan keagamaan.
Mungkin “perpaduan” inilah yang kerajaan Anwar perlu bina dahulu untuk membolehkan kita bersama capai cita-cita untuk membina semula Malaysia sebagai sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia.
Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk menghentikan politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan, dan menjenayahkan penipuan dan fitnah berkaitan dengan kaum dan agama.
Adakah Presiden PAS, Hadi Awang, akan memohon maaf untuk semua fitnah tidak berasasnya terhadap DAP, apabila dia menuduh DAP sebagai anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia?
Sudah lebih dari sebulan berlalu sejak daripada cabaran saya kepada sesiapa yang dapat menunjukkan bukti di mana DAP bersifat anti Melayu, anti Islam, komunis, atau mempromosikan Islamofobia, tetapi tidak ada sesiapa yang menyahut cabaran ini untuk membuktikan fitnah-fitnah yang ditabur ini. Sebaliknya, apa yang ada hanyalah kesunyian yang tidak bertepatan dengan perbuatan seorang penuduh yang jujur dan bertanggungjawab.
Sekiranya saya telah membuat apa-apa pertuduhan serius terhadap orang lain, dan saya dicabar untuk membuktikan pertuduhan saya ini, saya akan menggunakan peluang yang diberikan untuk membentangkan bukti yang saya ada.
Sebaliknya dalam kes, tidak ada sesiapa pun berani memberikan bukti.
Mungkin, Hadi telah terlupa yang pada tahun 2010, Pakatan Rakyat telah menerbitkan satu dokumen dasar yang mengikat ketiga-tiga parti dalam gabungan ini — PKR, DAP, dan PAS — dengan matlamat dasar untuk mencapai demokrasi yang telus; sebuah kerajaan yang baik, bersih, dan jujur; ekonomi berprestasi tinggi yang mampan dan saksama; keadilan sosial dan pembangunan insan; hubungan Persekutuan-Negeri yang saksama; dan dasar luar negara yang adil yang mengikat ketiga-tiga parti ini untuk “mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama Persekutuan dengan agama lain bebas diamalkan di mana-mana dalam negara, dan melindungi kedudukan khas orang Melayu dan orang asal di mana-mana termasuklah Sabah dan Sarawak, dan juga-juga kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain selari dengan Perkara 153”.
Mungkinkah Hadi telah terlupa apa yang dikatakannya ketika Pilihan Raya Kecil Teluk Intan pada tahun 2014, di mana dia telah mengatakan yang PAS terhutang budi dengan DAP kerana pada tahun 1977, Barisan Nasional cuba untuk menumbangkan parti tersebut dari memerintah Kelantan semasa Darurat Kelantan 1977.
Adakah Hadi akan bersetuju yang kealpaannya ini tidak menjadi alasan untuk politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan yang diamalkannya baru-baru ini, kerana politik toksik ini hanya akan memecah belahkan dan memusnahkan Malaysia?
Oleh itu, saya bertanya dua soalan kepada Hadi:
- Sama ada dia bersetuju yang Malaysia telah mengalami kemerosotan dalam enam dekad yang lepas, ditinggalkan bukan sahaja di belakang Taiwan, Singapura, Korea Selatan, dan Vietnam, tetapi juga bakal ditinggalkan di belakang negara-negara seperti Indonesia, Thailand, dan Kemboja — dan semua rakyat Malaysia perlu bersatu padu untuk membina semula Malaysia menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057?; dan
- Sama ada dia akan menarik semula kenyataannya dan memohon maaf di atas perbuatan politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan yang dibuatnya dalam memfitnah DAP sebagai kononnya anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia?