Sekiranya kritikan terhadap Hadi merupakan Islamofobia, maka Muhyiddin Yassin adalah orang paling Islamofobik di Malaysia
Sekiranya kritikan terhadap Presiden PAS, Hadi Awang, merupakan satu tindakan yang mempromosikan Islamofobia, maka Muhyiddin Yassin adalah orang yang paling Islamofobik di Malaysia.
Pastinya mudah Hadi membuka semula arkib-arkib video lama di mana Muhyiddin telah melabel PAS sebagai “parti ajaran sesat”, satu perkara yang tidak pernah saya lakukan.
Malah, bagaimana untuk Hadi menjadi Perdana Menteri Malaysia apabila Arab Saudi pun menganggap Hadi sebagai seorang “pengganas” yang menjelaskan mengapa Hadi — sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah untuk dua kerajaan “pintu belakang” sebelum ini — tidak pernah melawat negara tersebut kerana dia tidak dialu-alukan di sana.
Hakikat di mana Hadi tidak membuat laporan polis selepas sebulan menuduh DAP sebagai mempromosikan Islamofobia menjadi bukti bahawa dia tidak mempunyai sebarang bukti untuk tuduhannya yang tidak berasas ini, memandangkan perkara ini hanyalah sebahagian daripada politik toksik penipuan, syak wasangka, dan kebencian yang disebarkannya untuk memecah belah masyarakat di Malaysia.
Saya sangat terkejut dengan tuduhan Hadi yang mengatakan DAP mempromosikan Islamofobia, kerana tuduhan ini tidak pernah dibuat oleh mana-mana orang lain. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mempunyai badan pemerhati Islamofobia — yang menerbitkan laporan tahunan mengenai Islamofobia setiap tahun sejak 2007 — juga tidak sedar mengenai apa-apa insiden Islamofobia di Malaysia.
Adakah Hadi sudah atau akan membuat laporan mengenai Islamofobia di Malaysia kepada Pemerhati Islamofobia OIC, memandangkan DAP kini mempunyai Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kerajaan Persekutuan, dan jika tidak, mengapa?
Saya masih keliru dengan tuduhan “Islamofobia” Hadi ini.
Adakah Hadi masih ingat mengenai apa yang dikatakannya dalam pilihan raya kecil Teluk Intan pada Mei 2014?
Hadi ketika itu memuji calon DAP untuk PRK Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud, kerana menjadikan DAP sebagai parti politik pilihannya walaupun seorang Melayu.
Abdul Hadi ketika itu membidas mereka yang mengkritik PAS kerana memilih untuk bekerjasama dengan DAP, mengatakan yang PAS mempunyai lebih banyak persamaan dengan DAP berbanding dengan UMNO.
Dia mengatakan: “Kita percaya Dyana berani untuk menjadi seorang calon, apatah lagi seorang calon DAP.”
Abdul Hadi mengingatkan ahli-ahli PAS bahawa DAP telah membantu PAS semasa Barisan Nasional cuba untuk menumbangkan parti Islamis tersebut dari memerintah Kelantan semasa Darurat Kelantan 1977.
Dia mengatakan walaupun terdapat banyak perbezaan di antara DAP dan PAS, seperti mengenai apa yang halal dan haram, alkohol, khinzir, hudud, kedua-dua parti ini bersetuju bersama untuk menghapuskan perkara-perkara seperti kemiskinan, penindasan, dan rasuah.
Biarlah Hadi yang menjelaskan kepada rakyat Malaysia, apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Kecil Teluk Intan 2014, di mana pemimpin PAS kemudiannya bertukar arah sepenuhnya.
Adakah penolakan DAP untuk mencalonkan Hadi sebagai Perdana Menteri Malaysia satu tindakan yang Islamofobik?
DAP dan para pemimpin Melayu dalam DAP tidak menolak Islam, sebaliknya mereka menolak Hadi sebagai contoh pemimpin Muslim, kerana mereka benar-benar sedar mengenai pembuka kepada Rukun Negara yang menyatakan Malaysia “memupuk cita-cita” untuk “encapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya”, “menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak”, dan “membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Adakah Hadi berpegang dengan Rukun Negara ini?