Kenyataan Hamzah yang mengatakan “Pintu sentiasa terbuka” di Kelab Concorde semalam menjadi satu peringatan mengapa kerajaan perpaduan Anwar tidak patut bertoleransi terhadap politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan yang berasaskan fitnah dan mampu merosakkan kerajaan Anwar serta masyarakat majmuk di Malaysia
Kenyataan “Pintu sentiasa terbuka” oleh Ketua Pembangkang di Parlimen, Hamzah Zainudin, dalam mengatakan yang dia tidak mengetepikan kemungkinan untuk Perikatan Nasional (PN) kembali berkuasa menjadi satu peringatan mengapa kerajaan perpaduan Anwar tidak patut bertoleransi terhadap politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan yang berasaskan fitnah dan mampu merosakkan kerajaan Anwar serta masyarakat majmuk di Malaysia.
Sebuah kerajaan PN tidak peduli untuk mencapai status harimau ekonomi untuk Malaysia, atau untuk mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk bertaraf dunia dalam bidang pendidikan, kesihatan, sosial, atau alam sekitar, sebaliknya mereka akan membawa Malaysia ke arah menjadi sebuah negara berpecah belah, gagal, dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057.
Kerana inilah kerajaan PN pertama di bawah Muhyiddin Yassin gagal untuk mengendalikan wabak Covid-19, walaupun selepas dia mencabuli Perlembagaan dengan menggantung sidang Parlimen secara haram dan tidak sah pada bulan Januari 2021 untuk menguruskan pandemik Covid-19, negara kita terus mencatatkan sepuluh kali ganda lebih banyak kes dan 24 kali ganda lebih banyak kematian akibat Covid-19 berbanding dengan sebelum Parlimen digantung.
Hamzah perlu dibuktikan salah dalam mengatakan yang PN mampu untuk menawan kuasa di Selangor dan mempunyai peluang 50-50 untuk menawan Negeri Sembilan dalam pilihan raya negeri yang akan datang.
Kerajaan perpaduan Anwar perlu merangka strategi untuk enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang mampu untuk menyampaikan mesej bahawa tidak wujud fenomena “gelombang hijau” dalam politik Malaysia dan sebaliknya, kita mahu enam pilihan raya negeri ini untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan perpaduan Anwar untuk lima tahun yang akan datang.
Enam pilihan raya negeri ini adalah seperti satu versi Pilihan Raya Umum ke-15 yang lebih kecil, walaupun pilihan raya negeri ini diadakan selepas PRU-15 yang berlangsung pada 19 November 2022 tahun lepas.
Ucapan Hamzah di Kelab Concorde adalah satu pengakuan yang PAS di bawah Presidennya, Hadi Awang, akan terus bersembunyi di sebalik PN, kerana Hadi telah menunjukkan bahawa dia adalah pengamal politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan yang terbesar di Malaysia.
Harapan yang kerajaan perpaduan Anwar boleh bertahan selama lima tahun dan bakal membawa kestabilan politik untuk menjalankan tugas politik yang paling utama di Malaysia — untuk menghentikan kemerosotan negara selepas enam dekad dan menetapkan semula dasar-dasar negara kepada prinsip-prinsip yang telah diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara — dengan mengembalikan semula keyakinan pelabur dan menghentikan keluarnya bakat-bakat dari Malaysia, terutamanya dalam bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik) bakal menjadi cabaran terbesar yang dihadapi kita sebagai rakyat Malaysia pada hari ini.
Marilah kita semua sebagai rakyat Malaysia, bangkit menyahut cabaran untuk membuatkan semua rakyat Malaysia di seluruh dunia untuk kembali berbangga menjadi rakyat Malaysia.