Enam Pilihan Raya Negeri yang akan datang ini akan menjadi ujian penting untuk menentukan sama ada kerajaan perpaduan Anwar akan mempunyai kestabilan politik untuk bertahan selama lima tahun untuk memberikan Malaysia peluang berubah menjadi sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia
Pertamanya, saya ingin ucapkan tahniah kepada V. Ganabatirau atas kemenangan dengan majoriti 91,801 di kerusi Parlimen Klang dalam Pilihan Raya Umum ke-15, kerusi Parlimen dengan majoriti ketiga terbesar.
115,539 undi yang diraihnya di Klang telah membuktikan bahawa Klang adalah salah satu tempat yang menyokong kuat Impian Malaysia sebagai sebuah negara majmuk bertaraf dunia yang bersatu padu, adil, demokratik, dan makmur.
Klang adalah salah satu tempat terawal yang saya pernah pergi berkempen ketika DAP mula dibentuk pada tahun 1966 dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, hormat terhadap hak asasi manusia, dan untuk menamatkan kezaliman dan ketaksamaan dalam negara, dan juga untuk menjadikan Malaysia sebagai “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” dengan menggunakan nilai-nilai terbaik dari empat tamadun yang bertemu di negara kita.
Selangor, bersama dengan Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu akan mengadakan pilihan raya negeri masing-masing dalam beberapa bulan yang akan datang.
Enam Pilihan Raya Negeri yang akan datang ini akan menjadi ujian penting untuk menentukan sama ada kerajaan perpaduan Anwar akan mempunyai kestabilan politik untuk bertahan selama lima tahun untuk memberikan Malaysia peluang berubah menjadi sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia.
DAP perlu memastikan yang pilihan raya negeri di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu ini menjadi satu sokongan yang kukuh terhadap kerajaan perpaduan Anwar untuk lima tahun yang akan datang, kerana negara kita memasih mempunyai perjalanan yang panjang dalam sepertiga terakhir 100 tahun pertama negara untuk menghentikan kemerosotan Malaysia — dari sebuah negara hebat bertaraf dunia kepada kini sebagai sebuah negara yang biasa-biasa sahaja — kerana kita tidak mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057.
Kita bukan sahaja telah ditinggalkan dari segi pertumbuhan ekonomi di belakang negara-negara yang sebelum ini dimusnahkan oleh peperangan seperti Vietnam dan Kemboja, tetapi kita juga telah terpesong dari prinsip asal pembinaan negara yang telah diterapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara oleh tokoh-tokoh kemerdekaan — termasuklah empat Presiden terawal UMNO; Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn.
Tokoh-tokoh kemerdekaan negara pastinya akan malu sekiranya mereka dapat tahu yang negara yang mereka asaskan sebagai sebuah negara adil, bebas, demokratik, dan makmur yang mempunyai sebuah kerajaan yang bersih dan jujur telah terpesong jauh sebegini sehingga dianggap sebagai sebuah kleptokrasi di seluruh dunia.
Kemerosotan negara telah menjadi amat serius dan terbuka sehingga adanya orang yang tidak menerima prinsip-prinsip asas pembinaan negara yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara dapat diangkat menjadi Menteri, malah, sehingga ada yang menjadi Perdana Menteri melalui “pintu belakang”.
Muhyiddin telah mendekati saya pada tahun 2016 — selepas dipecat dari UMNO dan sebelum Bersatu dibentuk — untuk mendapatkan sokongan DAP untuk menamakannya sebagai Perdana Menteri.
Saya menolak, kerana DAP telah pun komited untuk menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat, tetapi pada masa itu, idea buruk mengenai seorang sosok yang hanya melihat dirinya sebagai “pertamanya orang Melayu” terlintas di fikiran saya.
Kegagalan Muhyiddin untuk mengawal penularan wabak Covid-19 adalah kegagalan terbesarnya sebagai seorang Perdana Menteri “pintu belakang”, tetapi kenyataan tidak bertanggungjawabnya pada tahun 2010 yang mengatakan yang dia adalah seorang yang “pertamanya Melayu” dan bukannya seorang yang “pertamanya rakyat Malaysia” adalah satu kenyataan yang paling teruk dalam kehidupan politiknya.
Semasa Muhyiddin mengisytiharkan darurat pada 11 Januari 2021 untuk melawan wabak Covid-19, negara kita mencatatkan 138,224 kes dan 555 kematian akibat Covid-19.
Enam bulan kemudian, ketika Muhyiddin meletakkan jawatan dan darurat berakhir, terdapat lebih dari 10 kali lebih banyak kes dan 24 kali ganda lebih banyak kematian akibat Covid-19 — dengan hampir 1.5 juta kes terkumpul dan lebih dari 13,000 kematian akibat Covid-19.
Semasa Hari Kebangsaan pada Ogos 2020, Malaysia mencatatkan 364 kes Covid-19 dengan dua kematian akibat Covid-19. Setahun kemudian dalam bulan Ogos 2021, kita mencatatkan lebih dari 630,000 kes dan lebih dari 7,400 kematian — peningkatan 17,000 kali ganda dari segi jumlah kes terkumpul dan peningkatan 3,700 kali ganda kadar kematian.
Tetapi Muhyiddin masih berani untuk mengatakan yang “hanya beberapa orang rakyat Malaysia mati” dalam pandemik Covid-19 semasa berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15.
Bolehkah Muhyiddin menjelaskan mengapa dia mencabuli Perlembagaan dan Rukun Negara dengan mengumumkan yang dia “pertamanya orang Melayu” dan membawa masuk para pemimpin yang tidak menerima Perlembagaan dan Rukun Negara — yang dengan jelas mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk — ke dalam Kabinetnya?
Kerajaan perpaduan perlu menghormati hak asasi manusia rakyat Malaysia untuk menikmati kebebasan bersuara, untuk mengkritik kerajaan berasaskan fakta dan angka, tetapi pada masa yang sama, kerajaan perlu bersifat tegas terhadap politik toksik penipuan, kebencian, syak wasangka, perkauman, dan keagamaan yang berpotensi untuk memusnahkan masyarakat majmuk di Malaysia dan merosakkan asas yang telah dibentuk melalui Perlembagaan dan Rukun Negara.