Mengapakah tidak ada sebarang bukti yang dapat dipetik dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP selama 14 tahun untuk mengatakan yang DAP ini kononnya anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia dari mereka yang menuduh sedemikian selepas tiga minggu?
Tiga minggu yang lepas, saya telah menjemput rakyat Malaysia, dari Perlis hingga ke Johor, dan juga dari Sabah dan Sarawak, untuk memetik satu contoh di mana DAP bertindak secara anti Melayu, anti Islam, komunis, atau mempromosikan Islamofobia dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP selama 14 tahun dari 2008 hingga 2022.
Tetapi, sehingga hari ini, tiada siapa dapat menunjukkan bukti ini. Sebaliknya, yang ada hanyalah kesunyian yang tidak sepatutnya ada sekiranya mereka yang membuat pertuduhan ini adalah dari kalangan orang yang jujur dan benar.
Sekiranya saya telah membuat pertuduhan yang serius terhadap orang lain dan saya dicabar untuk mengemukakan bukti, saya akan menggunakan peluang tersebut untuk membuktikan tuduhan saya.
Tetapi dalam kes ini, hanya ada kesunyian sahaja.
Mengapakah begini? Bukankah perkara ini menjadi bukti yang mereka yang menuduh ini telah membuat tuduhan palsu yang salah dan tidak berasas dalam mengatakan DAP sebagai kononnya anti Melayu, anti Islam, komunis, atau mempromosikan Islamofobia?
Kita kini berada dalam era di mana ada orang yang percaya mungkin untuk perkara yang salah ditukar menjadi benar.
Perkara ini kelihatan dengan jelas dalam media sosial di mana kebelakangan ini, berlegar mesej-mesej di Whatsapp yang cuba mengatakan perkara yang telah lama berlaku sebagai perkara yang sedang berlaku.
Dalam era teknologi maklumat moden, lebih mudah untuk mencuba menulis semula sejarah dari membersihkan dosa-dosa lama.
Kes terbaru yang berlaku semalam adalah apabila ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mengatakan yang Malaysia telah gagal untuk mengawal penularan wabak Covid-19 kerana kerajaan Pakatan Harapan membuat kesilapan pada bulan Februari 2020 dengan bertindak perlahan untuk menyekat kemasukan pelancong dari negara berisiko.
Perkara ini tidak masuk akal atas dua sebab: kerajaan Pakatan Harapan telah ditumbangkan oleh konspirasi politik Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020; dan kedua, penularan wabak Covid-19 di Malaysia terkawal sehinggalah Hari Kebangsaan 2020. Malaysia gagal mengawal penularan wabak ini apabila Perikatan Nasional mula menjadi tamak kuasa dan memaksa untuk Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan pada bulan September 2020.
Hasilnya, semasa Hari Kebangsaan pada bulan Ogos 2020, Malaysia mencatatkan 364 kes dan dua kematian akibat Covid-19. Tetapi semasa Hari Kebangsaan pada bulan Ogos 2021, Malaysia mencatatkan lebih dari 630,000 kes dengan lebih dari 7,400 kematian akibat Covid-19 — peningkatan berganda sebanyak 17,000 dan 3,700 kali ganda untuk angka kes dan kematian akibat Covid-19!
Dan perkara semua ini terjadi selepas Perdana Menteri “pintu belakang” yang pertama, Muhyiddin Yassin, menggantung sidang Parlimen secara haram dan tidak sah pada 11 Januari 2021 — yang mana ketika itu Malaysia mencatatkan sejumlah 138,224 kes dengan 555 kematian akibat Covid-19.
Enam bulan kemudian, ketika Muhyiddin meletakkan jawatan, jumlah kes terkumpul telah meningkat 10 kali ganda, menghampiri 1.5 juta kes dan jumlah kematian meningkat 24 kali ganda dengan lebih dari 13,000 kematian akibat Covid-19.
Tetapi, Bersatu dan Perikatan Nasional masih mencuba untuk menulis semula sejarah dan cuba untuk mengatakan yang kejayaan terbesar Muhyiddin adalah dalam mengawal wabak Covid-19, sedangkan perkara yang sebaliknya yang berlaku — pengurusan wabak Covid-19 adalah kegagalan terbesar Muhyiddin.
Kenyataan Muhyiddin yang mengatakan “hanya beberapa orang sahaja yang mati” akibat wabak Covid-19 di bawah pimpinannya semasa berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 adalah kenyataannya yang paling tidak bertanggungjawab — yang hanya boleh disaingi oleh kenyataan tidak bertanggungjawabnya pada tahun 2010 yang mengatakan yang dia adalah seorang yang “pertamanya Melayu” dan bukannya seorang yang “pertamanya rakyat Malaysia”.