Malaysia memulakan Tahun Baru dengan asas yang baik — mari kita jadikan Malaysia hebat semula, di mana salah guna kuasa, rasuah, dan kleptokrasi tidak lagi dikaitkan dengan Malaysia
Malaysia masuk ke dalam Tahun Baru 2023 dengan asas yang baik.
Tahun 2022 telah berakhir dengan 15 hari berturut-turut dengan kes baharu dalam julat tiga angka dan 19 hari berturut-turut dengan kematian akibat Covid-19 dalam julat satu angka — dengan satu hari (Hari Krismas pada 25 Disember) dengan sifar kematian.
Dari segi politik pula, kita telah menamatkan lima tahun dengan empat orang Perdana Menteri dan kini dapat berharap untuk melihat kestabilan politik dalam lima tahun yang akan datang dengan seorang Perdana Menteri.
Akhirnya, terdapat harapan yang Malaysia boleh menjadi hebat sekali lagi.
Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim, telah membentangkan rancangan kerajaan perpaduannya dalam Perutusan Ambang Tahun Baru 2023 untuk membawa perancakan semula ekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan sebagai keutamaan tertinggi kerajaannya.
Rakyat Malaysia kini menantikan Perutusan Ambang Tahun Baru 2024 Anwar untuk mendengar laporan perkembangan terkini usaha kerajaannya untuk mengembalikan keyakinan pelabur untuk membawa dana dan mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi dan juga laporan mengenai janjinya untuk mengetuai sebuah kerajaan yang bersih, jujur, efisyen, dan bebas rasuah.
Anwar telah menjanjikan yang dia tidak akan berkompromi mengenai rasuah dan tidak ada layanan istimewa akan diberikan kepada mana-mana ahli pentadbirannya yang disabit rasuah.
Saya menyokong penuh dasar sifar toleransi terhadap rasuah ini dan juga komitmen dia untuk membawa pulang berbillion ringgit yang “dikeluarkan” oleh para pemimpin negara yang terdahulu untuk memastikan sekurang-kurangnya ada sebahagian dari dana ini dapat dikembalikan kepada rakyat.
Seperti yang Anwar katakan, masih ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang meraih RM40 sehari, tetapi pada masa yang sama ada mereka yang mengambil RM4 juta sehari.
Perkara yang sama penting dengan usaha untuk menghidupkan semula ekonomi dan memastikan adanya kerajaan yang bersih, jujur, efisyen, dan bebas rasuah adalah usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia demi suatu cita-cita bersama sebagai rakyat Malaysia.
Saya menyokong mesej Anwar yang mengatakan yang orang Islam patut menganggap orang Islam sebagai bersaudara dalam agama dan orang bukan Islam sebagai bersaudara dalam kemanusiaan untuk membina sebuah Malaysia yang mampu menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.
Kita perlu pertahankan demokrasi dan kebebasan bersuara, tetapi kita tidak boleh bertoleransi dengan penipuan, fitnah, dan berita palsu yang mengeksploitasikan isu perkauman dan keagamaan untuk memecah-belahkan rakyat Malaysia.
Kita perlu tunjukkan kepada dunia, bagaimana sebuah negara majmuk seperti Malaysia dapat membina sebuah masa hadapan bersama dengan perpaduan, persefahaman, dan keharmonian daripada kepelbagaian etnik, bahasa, agama, dan budaya yang ada.
Perkara ini adalah satu pengajaran yang amat diperlukan dalam dunia global yang kini terasa semakin rapat dan kecil dengan perubahan besar yang dibawa oleh teknologi maklumat.
Mari semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, melihat diri kita semua sebagai pertamanya rakyat Malaysia, supaya kita dapat jadikan Malaysia sebuah negara hebat, di mana salah guna kuasa, rasuah, dan kleptokrasi tidak lagi dikaitkan dengan nama negara kita yang tercinta.