Gesaan untuk semakan dan pembatalan keputusan untuk menyimpan penyelesaian saman kerana pemecatan Apandi sebagai Peguam Negara oleh Mahathir pada tahun 2018 sebagai “rahsia rasmi” kerana ia tidak dapat dipertahankan sama sekali dari segi kepentingan awam
Saya menggesa agar semakan dan pembatalan keputusan untuk menyimpan penyelesaian kes saman pemecatan bekas Peguam Negara, Mohamad Apandi Ali oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2018 sebagai “rahsia rasmi” kerana ia tidak dapat dipertahankan sama sekali dari segi kepentingan awam
Minggu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said memberitahu Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran dalam jawapan bertulis parlimen bahawa penasihat undang-undang kepada kedua-dua pihak dalam perkara itu telah bersetuju untuk menyembunyikan terma penyelesaian rundingan mereka.
Perkara ini bertentangan dengan kepentingan awam, terutamanya memandangkan Mahathir mengatakan yang bahawa dia “terkeliru” dengan keputusan Putrajaya untuk tidak mendedahkan butiran penyelesaian dengan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali berhubung pampasan bagi pemecatannya daripada jawatan itu.
Saya bersetuju dengan Mahathir.
Apandi, bekas Peguam Negara di bawah kerajaan Najib Abdul Razak, membuat tuntutannya secara terbuka. Malah dia menamakan jumlah itu sebanyak RM2.23 juta.
Mahathir telah bertanya: “Namun pampasan yang dibuat kerajaan adalah rahsia, kenapa? Saya ada sebab untuk mengetahui sebabnya kerana saya rasa dia tidak layak diberi pampasan sama sekali.”
Semasa Mahathir menjadi perdana menteri dalam pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini, dia telah menamatkan perkhidmatan Apandi sebagai Peguam Negara pada bulan Jun 2018 semasa proses siasatan 1MDB.
Pada 13 Okt 2020, Apandi memfailkan saman terhadap Mahathir dan kerajaan atas dakwaan penamatan khidmatnya sebagai Peguam Negara dilakukan secara tidak sah.
Pada 13 April 2022, Apandi dan kerajaan mencapai penyelesaian secara baik berhubung tuntutan itu.
Mahathir menegaskan bahawa dia membuat keputusan yang tepat dalam memecat Apandi dan perkara itu dilakukan mengikut prosedur.
Dia terkejut membaca berita mengenai penyelesaian di luar mahkamah yang dibuat antara kerajaan dan Apandi.
Dia berkata apabila berita mengenai penyelesaian itu tersebar: “Saya tidak dimaklumkan mengenai penyelesaian itu walaupun saya adalah saksi utama.”
Kepentingan awam memerlukan penyelesaian di luar mahkamah didedahkan kepada umum.
Kabinet harus membatalkan keputusan untuk menyorokkan penyelesaian di luar mahkamah ini daripada pengetahuan orang ramai, kerana kerajaan perlu bertindak bagi pihak rakyat.
Jika Apandi mahu memulakan tindakan undang-undang hasil daripada penerbitan penyelesaian di luar mahkamah ini, dia bebas untuk berbuat demikian.