Adakah kita mempunyai Ketua Pembangkang yang tidak berani untuk membangkitkan isu rasuah di Parlimen?
Semalam, saya telah katakan yang Ketua Pembangkang di Parlimen, Hamzah Zainuddin, telah melakukan dua kesilapan pada hari Selasa lepas – pertama, gagal untuk memastikan ada proses semak imbang semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri dan kedua, untuk melepasi ujian Agong seperti dalam titah baginda untuk menjamin kestabilan politik dalam tempoh lima tahun yang datang bagi membolehkan proses menyatukan masyarakat majmuk yang terpolarisasi dan untuk mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asal pembinaan negara bangsa supaya Malaysia dapat menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Sebenarnya, Hamzah juga telah melakukan kesilapan ketiga – apabila dia gagal menyentuh mengenai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 terbitan Transparency International (TI) dalam ucapan sulungnya di Parlimen.
Adakah perkara ini berlaku kerana sebab rujukan kepada TI CPI 2022 akan menyentuh isu pentadbiran dua kerajaan “pintu belakang” Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri?
Adakah kita mempunyai seorang Ketua Pembangkang yang tidak berani membangkitkan isu-isu berkenaan rasuah di Parlimen?
TI CPI 2022 ini merupakan bukti utama yang menunjukkan selepas enam dekad, negara kita telah mengalami kemerosotan untuk menjadi negara biasa-biasa dan sedang berada dalam bahaya untuk berada dalam kalangan negara-negara yang gagal dan berpecah belah dalam beberapa dekad yang akan datang.
Sebuah blok Pembangkang yang serius mengenai tanggungjawabnya untuk menjadi semak imbang kepada kerajaan perlu menjadikan TI CPI 2022 sebagai salah satu platform utama mereka untuk menuntut satu laporan dan rancangan dari kerajaan untuk menghentikan kemerosotan Malaysia dalam TI CPI.
Cubaan terbaik usaha ini dalam tiga dekad yang lepas adalah semasa dalam kerajaan Pakatan Harapan sebelum kerajaan ini ditumbangkan selepas 22 bulan melalui konspirasi politik Langkah Sheraton yang membawa masuk dua kerajaan “pintu belakang” yang tidak sah.
TI CPI 2019 untuk Malaysia adalah usaha anti-rasuah terbaik negara dalam 25 tahun sejak indeks ini mula diterbitkan pada tahun 1995. Kita menerima markah 53/100 dan diletakkan di kedudukan ke-51 dari 180 negara, berbanding dengan kedudukan kita pada tahun 2017 di tempat ke-62 dengan markah 47/100.
Dua kerajaan “pintu belakang” Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri tidak dapat meneruskan usaha anti-rasuah kerajaan Pakatan Harapan untuk mencapai keputusan yang lebih baik berbanding dengan indeks negara kita dalam TI CPI 1995, sebaliknya, menjunamkan kedudukan negara kepada markah terendah dalam dekad ini, 47/100 dengan kedudukan di tempat ke-62 dari 180 negara.
Kita telah ditinggalkan bukan sahaja di belakang 10 negara teratas – yang didahului oleh Denmark dan juga termasuklah Singapura – kita juga telah dipintas oleh lima negara yang sebelum ini berada di bawah kedudukan kita dalam TI CPI 1995 (Taiwan, Korea Selatan, Sepanyol, Itali, dan Greece). Tambahan lagi, kita juga telah ditinggalkan di belakang negara-negara seperti Rwanda, Arab Saudi, Croatia, Mauritius, Vanuatu, dan berada di kedudukan yang sama dengan Jordan.
Jika kita tidak meningkatkan usaha kita, kita bakal ditinggalkan di belakang Armenia, China, Cuba, Bahrain, Jamaica, Oman, Benin, Bulgaria, Ghana, Senegal, Afrika Selatan, Burkina Faso, Hungary, Kuwait, Timor-Leste, Vietnam, Kosovo, Guyana, India, Maldives, Suriname dan Tunisia menjelang penghujung dekad ini.
Semasa Transparency International mula menerbitkan siri tahunan CPI pada tahun 1995, kita berada jauh di hadpaan China, India, dan Indonesia. Namun, negara-negara ini terus merapatkan jurang mereka dengan Malaysia dalam 27 tahun yang lepas. Adakah kita bakal ditinggalkan di belakang China dan India sebelum penghujung dekad ini dan ditinggalkan di belakang Indonesia sebelum penghujung dekad hadapan?
Dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kita telah ditinggalkan di belakang Emiriah Arab Bersatu, Qatar, dan Arab Saudi. Kita juga bakal ditinggalkan di belakang lebih banyak negara-negara OIC sekiranya kita terus menunjukkan prestasi yang tidak baik.
Kerana inilah sidang Parlimen selama tujuh minggu yang sedang berlangsung ini patut menjadi sidang Parlimen yang paling penting dalam sejarah negara, dengan memulakan inisiatif reformasi institusi untuk mencapai matlamat berganda untuk menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia dan mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai negara hebat bertaraf dunia.
Sidang Parlimen perlu meluluskan suatu Piagam Integriti Awam untuk melonjakkan kedudukan Malaysia menjadi salah satu negara terbaik di dunia dari segi integriti awam dan usaha membanteras rasuah, di mana kegembiraan rakyat Malaysia menjadi keutamaan tertinggi kerajaan, bukannya kegembiraan golongan kroni dan kelas ahli politik seperti yang disaksikan sebelum ini dalam laporan TI CPI 2022 yang amat memalukan.
Sekiranya Hamzah tidak berani untuk memimpin kempen anti-rasuah di Parlimen, Malaysia memerlukan seorang Ketua Pembangkang di Parlimen yang baru.