Sekiranya hasrat Yang di Pertuan Agong ke-16 menjadi kenyataan, maka Anwar akan terus menjadi Perdana Menteri sehingga tahun hadapan
Sekiranya hasrat Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke-16 menjadi kenyataan, maka Anwar akan terus menjadi Perdana Menteri sehingga tahun hadapan.
Tetapi, adakah dia akan terus menjadi Perdana Menteri untuk sepenuh penggal lima tahun Parlimen ke-15?
Dalam istiadat pembukaan Parlimen ke-15 semalam, Yang di Pertuan Agong dalam Titah Diraja kepada Parlimen yang terakhir baginda menyatakan hasrat baginda supaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjadi calon terakhir jawatan tersebut sebelum pemerintahan baginda berakhir pada bulan Januari tahun hadapan memandangkan sejarah telah mencatatkan baginda sebagai satu-satunya Yang di Pertuan Agong dengan empat orang Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun pemerintahannya.
Semasa Malaysia ada Perdana Menteri keempat dalam Parlimen kelima pada tahun 1981, negara kita mempunyai Yang di Pertuan Agong yang ketujuh.
Semasa kita ada Perdana Menteri yang kelima dalam Parlimen yang ke-10 pada tahun 2003, kita mempunyai Yang di Pertuan Agong yang ke-12.
Semasa kita ada Perdana Menteri yang ketujuh dalam Parlimen ke-14 pada tahun 2018, kita mempunyai Yang di Pertuan Agong yang ke-15.
Adakah Perdana Menteri ke-10 akan bertahan selama lima tahun sepanjang pemerintahan Yang di Pertuan Agong ke-17 dalam Parlimen ke-15?
Parlimen ke-14 akan dikenang dalam sejarah sebagai tempoh di mana kerajaan yang dipilih rakyat ditumbangkan secara haram dan tidak sah melalui konspirasi politik Langkah Sheraton, membawa kepada: dua Perdana Menteri “pintu belakang” dan tempoh penggantungan sidang Parlimen secara haram selama enam bulan; polarisasi hubungan antara kaum dan agama untuk membolehkan kerajaan “pintu belakang” terus berkuasa dalam masa di mana media sosial dan era maklumat dibiarkan untuk menyebarkan penipuan, fitnah, dan berita palsu yang menggugat kestabilan masyarakat dan perpaduan negara.
Rakyat Malaysia akan mengingati isu ratifikasi ICERD pada tahun 2018, yang menjadi kejadian pertama di mana isu dibuat-buat melalui penipuan, fitnah, dan berita palsu yang tidak didedahkan dengan pantas yang akhirnya membawa kepada polarisasi hubungan antara kaum dan agama yang semakin memburuk.
Insiden ini menjadi pengajaran penting mengapa penipuan, fitnah, dan berita palsu tidak boleh dibiarkan berleluasa untuk menggugat kestabilan dan pembangunan progresif masyarakat dan negara dan mengapa ia perlu didedahkan dan dicantas seawal mungkin — kerana inilah saya berkali-kali menggesa Presiden PAS, Hadi Awang, untuk membuktikan tuduhan liar dan tidak masuk akalnya yang mengatakan kononnya DAP ini anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia.
Ada harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang tempoh pemerintahan tidak sah yang menyebabkan polarisasi pentadbiran berasaskan penipuan, fitnah, dan berita palsu — menjadi punca utama ketidakstabilan politik dan krisis ekonomi rakyat — ini akan berakhir.
Yang di Pertuan Agong telah bertitah semalam, baginda memberikan “membuka seluas-luasnya ruang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk bermuafakat dan mencari kesepakatan atas prinsip perpaduan demi untuk masa hadapan negara”.
Baginda bertitah “kemelut politik yang membelenggu negara hampir 4 tahun lamanya boleh dielakkan” sekiranya peristiwa yang membawa kepada perletakan jawatan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2020 tidak terjadi.
Lebih penting lagi, baginda bertitah yang negara kita dapat mengelakkan kemelut politik “sekiranya Ahli-ahli Yang Berhormat dan para ahli politik negara bersedia untuk mengenepikan perbezaan dan bersatu padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat Beta dan negara yang kita cintai ini.”
Adakah Ketua Pembangkang di Parlimen akan memberikan respons positif kepada seruan Yang di Pertuan Agong kepada semua rakyat Malaysia untuk “membuka hati mereka” kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 — untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil, menjamin kestabilan politik, menjana semula pertumbuhan ekonomi, menyelesaikan isu-isu rakyat seperti kos sara hidup, subsidi untuk rakyat, dan usaha membanteras rasuah?
Adakah Hamzah akan menawarkan kerjasama Perikatan Nasional kepada Kerajaan Anwar untuk memastikan Malaysia dapat mencapai dua objektif — untuk menyatukan masyarakat yang terpolarisasi dan untuk mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asal tokoh kemerdekaan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia yang dipandu oleh prinsip-prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, anti rasuah, dan sistem ekonomi, pendidikan, dan sosial yang bertaraf global?
Inilah ujian terhadap ucapan perbahasan Ketua Pembangkang baharu dalam perbahasan menjunjung Titah Diraja di Parlimen hari ini.