Cadangan reformasi Parlimen untuk memperkenalkan Hari Pembangkang di mana pihak Pembangkang dapat menentukan aturan urusan mesyuarat
Satu era akan bermula esok apabila Parlimen yang baru diundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 akan bersidang selama tujuh minggu sehingga hujung bulan Mac untuk memenuhi harapan untuk Malaysia yang lebih baik yang telah memacu negara kita untuk dua bulan setengah yang lepas.
Kini, masanya telah tiba untuk mengubah harapan ini menjadi realiti.
Parlimen telah bersidang selama dua hari pada bulan Disember untuk memilih Yang di Pertua Dewan Rakyat dan dua orang timbalannya pada dan juga untuk meluluskan usul kepercayaan terhadap Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim.
Tetapi, menjelang penghujung sidang Parlimen tujuh minggu ini pada hujung bulan Mac, Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada harapan semata-mata dan perlunya ada bukti yang Malaysia yang lebih baik sedang mengambil bentuk dan “Masyarakat Madani” di bawah kerajaan perpaduan Anwar perlu dilihat sebagai mampu untuk menyatukan masyarakat majmuk pelbagai etnik, bahasa, dan budaya di Malaysia yang terpolarisasi dengan prinsip-prinsip Rukun Negara dan tema “Perpaduan dari Kepelbagaian” untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia yang dipandu oleh demokrasi, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, anti-rasuah, dan sistem ekonomi, pendidikan, dan sosial yang bertaraf dunia.
Saya telah berada dalam DAP selama 58 tahun, bermula ketika saya masih muda, dengan impian untuk Malaysia majmuk yang lebih adil, saksama, dan bersatu-padu.
Semasa saya di sekolah pada tahun 50-an, kami dididik untuk menjadi rakyat Malaya — kemudiannya, rakyat Malaysia — dan bukan sahaja orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak.
Kami masih menjadi orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, yang merupakan identiti etnik masing-masing. Kami juga terus menjadi orang Islam, Buddha, Hindu, atau Kristian, yang merupakan identiti agama masing-masing. Tetapi bersama kita semua mempunyai identiti kebangsaan yang dikongsi bersama sebagai rakyat Malaysia.
Malaysia hanya mampu untuk menjadi hebat sekiranya kita dapat bersatu sebagai rakyat Malaysia, menggabungkan kekuatan dari kepelbagaian identiti etnik, agama, bahasa, dan budaya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia untuk kepentingan rakyat dan dunia.
Banyak perkara yang dinantikan dari sidang Parlimen ke-15 dalam tujuh minggu yang akan datang ini.
Pertama, perlulah ada reformasi Parlimen untuk membolehkan Parlimen Malaysia memainkan peranan penuhnya dalam sistem kerajaan seperti yang dibayangkan dalam Perlembagaan Malaysia — dengan doktrin pemisahan kuasa di antara pihak Eksekutif, Parlimen, dan Kehakiman.
Saya cadangkan reformasi Parlimen untuk memperkenalkan Hari Pembangkang, di mana pihak Pembangkang dapat menentukan aturan urusan mesyuarat untuk hari ini — dua Hari Pembangkang untuk sidang yang panjang dan sehari untuk sidang-sidang yang lebih pendek.
Memandangkan Ketua Pembangkang telah diberikan status bertaraf menteri, perlulah ada Kenyataan menteri di Parlimen mengenai mengapa Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang tidak menjadi Ketua Pembangkang dan bagaimana mereka boleh bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya mereka tidak bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang.
Hadi telah membuat kenyataan yang amat serius terhadap DAP di luar Parlimen — mengatakan yang kononnya DAP ini anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia, kenyataan yang memberikan cerminan buruk kepada Kerajaan Malaysia dan lima kerajaan negeri yang disertai DAP.
Hadi merupakan Duta Khas ke Timur Tengah untuk dua orang Perdana Menteri “pintu belakang” tetapi dia tidak pernah melaporkan “insiden Islamofobia” di Malaysia ini kepada Pemerhati Islamofobia Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mencerap insiden Islamofobia di seluruh dunia setiap hari.
Adakah Hadi bersedia untuk mengulangi tuduhannya terhadap DAP ini di Parlimen dan memberikan bukti untuknya?