Adakah Hadi akan menuruti jejak langkah Razman dan memohon maaf untuk tuduhan tidak berasas dan tidak masuk akalnya yang kononnya DAP mempromosikan Islamofobia atau adakah dia perlu diheret ke mahkamah seperti Razman sebelum memohon maaf?
Sebelas minggu sudah berlalu dan Presiden PAS, Hadi Awang, masih gagal untuk memberikan satu pun bukti untuk tuduhan tidak berasas dan tidak masuk akalnya yang mengatakan kononnya DAP ini anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia, tetapi Hadi masih enggan untuk memohon maaf atau menarik semula tuduhan-tuduhan ini.
Adakah Hadi akan menuruti jejak langkah Pengerusi PAS Perak, Razman Zakaria, dan memohon maaf untuk tuduhan tidak berasas dan tidak masuk akalnya yang kononnya DAP mempromosikan Islamofobia atau adakah dia perlu diheret ke mahkamah seperti Razman sebelum memohon maaf?
Razman memohon maaf kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Ipoh — kerana membuat dakwaan semasa kempen pilihan raya pada tahun lepas yang Anwar membawa agenda LGBT — sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian mereka.
Peguam Anwar, SN Nair, mengatakan yang anak guamnya telah memberikan persetujuan kepada perjanjian penyelesaian ini atas budi bicaranya dan supaya perkara ini dapat diselesaikan.
Adakah Hadi akan mengulangi tuduhannya yang mengatakan DAP mempromosikan Islamofobia di Parlimen yang bakal bersidang semula pada hari Isnin ini?
Hadi perlu dijadikan contoh bagaimana seorang pemimpin politik/agama yang tidak bertanggungjawab boleh membuat tuduhan yang tidak masuk akal dan tidak berasas terhadap lawan politik — satu amalan yang patut dihentikan dalam era di mana politik toksik penipuan, fitnah, dan berita palsu berpotensi untuk menyebabkan polarisasi hubungan antara kaum dan agama dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia.
Hadi juga gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai Duta Khas ke Timur Tengah untuk dua orang Perdana Menteri “pintu belakang” — Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri — apabila dia gagal untuk melaporkan mengenai insiden “Islamofobia di Malaysia” kepada Badan Pemerhati Islamofobia Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menjalankan pemerhatian terhadap kejadian-kejadian Islamofobia di seluruh dunia setiap hari.
Saya telah tanyakan pada minggu lepas sama ada Hadi cuba mengatakan yang rakyat Malaysia yang tidak mengundi calon PAS dalam pilihan raya juga mempromosikan Islamofobia?
Hadi terlepas pada tahun 2018 apabila dia membuat tuduhan tidak berasas terhadap DAP, mengatakan yang kononnya DAP adalah dalang di sebalik rancangan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) sedangkan DAP tidak tahu menahu mengenai isu ini, tetapi Hadi tidak pernah memohon maaf atas tuduhan ini walaupun dia tahu mengenai perkara yang sebenarnya.
Isu ICERD pada tahun 2018 membolehkan Hadi untuk menyebar penipuan dan fitnah yang kononnya DAP ini anti Melayu, anti Islam, dan anti Raja.
Adakah Hadi akan terus mempolarisasikan hubungan antara kaum dan agama di Malaysia dengan politik toksik penipuan, fitnah, dan berita palsunya?
Hubungan antara kaum dan agama di Malaysia telah mencapai peringkat terendah seperti yang ditunjukkan dengan insiden-insiden baru-baru ini: pengasingan pelajar mengikut agama untuk kursus SPM di Johor; kenyataan bersifat rasis seorang pemain hoki kebangsaan wanita mengenai konsert seorang komposer India; seorang cikgu yang didakwa memberitahu seorang pelajarnya untuk memeluk Islam untuk meningkatkan peluangnya menjadi pemain bola sepak negara; dan rasisme yang meluas dalam bidang sukan.
Adakah kita hanya akan biarkan sahaja polarisasi perkauman dan keagamaan ini terus menjadi-jadi?
Pada hari-hari awal negara kita, ramai pemimpin Melayu dididik di sekolah mubaligh, tetapi tidak ada pun cubaan untuk membuatkan mereka memeluk agama Kristian.
Patutkah sekolah terus dibiarkan menjadi tempat menyemai polarisasi perkauman dan keagamaan?
Patutkah kita biarkan politik toksik penipuan, fitnah, dan berita palsu menjadi asas pembinaan negara seperti yang ditunjukkan oleh Hadi Awang dengan tuduhan liar dan tidak masuk akalnya yang DAP kononnya merupakan dalang di sebalik isu ratifikasi ICERD pada tahun 2018 dan kononnya DAP mempromosikan Islamofobia?
Untuk dua bulan setengah yang lepas, rakyat Malaysia telah hidup dengan harapan untuk masa hadapan yang lebih baik, di mana terdapat perpaduan yang lebih erat dari kepelbagaian etnik, agama, budaya di Malaysia, dan di mana Malaysia dapat kembali menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan bukannya menjadi sebuah negara biasa-biasa sahaja, atau lebih buruk lagi, menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057.
Taruhan harapan rakyat Malaysia dalam dua bulan setengah yang lepas ini telah disahkan oleh kajian Merdeka Centre yang mendapati lebih dari dua pertiga responden yang ditemu bual, atau 68 peratus responden, memberikan kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim penilaian yang positif.
Kajian ini yang dijalankan dalam bulan kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-15 melaporkan yang kadar kepuasan hati terhadap Anwar berada di paras tertinggi dalam kalangan orang India (91 peratus), diikuti orang Cina (73 peratus).
70 peratus responden Bumiputera Sabah dan Sarawak menyatakan kepuasan hati mereka manakala 60 peratus orang Melayu menyatakan perkara yang sama.
Kajian yang sama juga mendapati 54 peratus responden mengatakan mereka berpuas hati dengan prestasi menyeluruh kerajaan persekutuan yang baru, manakala 25 peratus responden tidak berpuas hati.
Kajian ini juga mendapati sejumlah besar (79 peratus) responden menerima keputusan pilihan raya umum.
Tambahan lagi, 83 peratus responden menyokong pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong.
Daripada responden-responden ini, 77 peratus percaya yang kerajaan perpaduan dapat membawa kestabilan dan sifat inklusif dalam politik negara, dengan 75 peratus responden menerima keputusan Perikatan Nasional untuk menjadi Pembangkang.
Tambahan, 66 peratus responden menerima keputusan BN untuk menyertai kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.
Antara perkara-perkara positif lain dari kajian ini:
- 48 peratus percaya negara kini berada dalam hala tuju yang tepat, berbanding dengan hanya 20 peratus pada bulan Oktober 2022;
- 43 peratus menyatakan optimisme mengenai ekonomi negara dalam tahun-tahun yang akan datang, meningkat berbanding dengan 23 peratus pada Oktober 2022;
- 38 peratus berasa optimis mengenai masa hadapan kewangan peribadi berbanding dengan hanya 26 peratus pada Oktober 2022.