Seruan supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk untuk menyiasat bagaimana menjadi sebuah kleptokrasi, ditinggalkan di belakang satu demi satu negara lain dalam laporan TI CPI sejak tahun 1995 dan untuk mencari formula bagaimana Malaysia dapat menjadi sebuah negara terbaik dunia dari segi integriti awam dan usaha melawan rasuah
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebegitu diam dalam tahun baru 2023 ini, walaupun selepas laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) yang amat memalukan untuk negara telah diterbitkan pada 31 Januari 2023.
Tahun lepas, selepas penerbitan TI CPI 2021 yang menyaksikan negara kita jatuh sebelas anak tangga dalam tempoh dua tahun, dengan markah TI CPI jatuh lima mata dari 53 kepada 48, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan meneliti dapatan laporan ini dan merangka cadangan yang berpatutan dan pada masa yang sama menyeru “orang untuk terus bekerjasama dengan kami untuk membendung rasuah”.
Apakah cadangan-cadangan SPRM sejak tahun lepas ini dan apakah yang mereka boleh katakan mengenai penurunan markah TI CPI Malaysia dalam tahun 2022, dair 48 ke 47 markah?
Jelas sekali, cadangan-cadangan SPRM kepada kerajaan ini, sekiranya cadangan ini ada, gagal untuk menghentikan kemerosotan negara dalam laporan TI CPI.
Masa telah tiba untuk kita bentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat bagaimana Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi, ditinggalkan di belakang satu demi satu negara dalam Indeks Persepsi Rasuah sejak mula diterbitkan pada tahun 1995 dan untuk mencari penyelesaian mengenai bagaimana Malaysia dapat untuk menjadi salah satu negara terbaik dunia dari segi integriti awam dan usaha membanteras rasuah.
Sejak TI CPI mula diterbitkan pada tahun 1995, kita telah ditinggalkan bukan sahaja di belakang 10 negara teratas — yang didahului oleh Denmark dan juga termasuklah Singapura — kita juga telah dipintas oleh lima negara yang sebelum ini berada di bawah kedudukan kita dalam TI CPI 1995 (Taiwan, Korea Selatan, Sepanyol, Itali, dan Greece). Tambahan lagi, kita juga telah ditinggalkan di belakang negara-negara seperti Rwanda, Arab Saudi, Croatia, Mauritius, Vanuatu, dan berada di kedudukan yang sama dengan Jordan.
Jika kita tidak meningkatkan usaha kita, kita bakal ditinggalkan di belakang Armenia, China, Cuba, Bahrain, Jamaica, Oman, Benin, Bulgaria, Ghana, Senegal, Afrika Selatan, Burkina Faso, Hungary, Kuwait, Timor-Leste, Vietnam, Kosovo, Guyana, India, Maldives, Suriname dan Tunisia menjelang penghujung dekad ini.
Malah, Indonesia juga telah menunjukkan perkembangan yang baik dengan markah 34/100 untuk tahun 2022, sedangkan Malaysia pula yang mencatatkan markah yang lebih buruk dengan hanya 47/100 pada tahun 2022.
Adakah kita hanya menunggu masa sahaja sebelum Indonesia memintas kedudukan Malaysia dan menunjukkan kepada seluruh dunia yang Indonesia lebih bersih dan kurang bermasalah rasuah berbanding dengan Malaysia?
Dalam TI CPI 1995, Malaysia berada di tempat ke-23 dari 41 buah negara yang ditinjau. India berada di tempat ke-35, China di tempat ke-41, dan Indonesia di tempat ke-41, yang terakhir dalam senarai.
Dalam TI CPI 2022 pula, Malaysia di tempat ke-61 dari 180 negara, China berada di tempat ke-65, India 86, dan Indonesia di tempat ke-110 dengan markah 34/100.
Adakah Malaysia akhirnya akan ditinggalkan di belakang China, India, dan Indonesia sebelum ulang tahun ke-100 negara kita pada tahun 2057?
Dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kita telah ditinggalkan di belakang Emiriah Arab Bersatu, Qatar, dan Arab Saudi. Kita juga bakal ditinggalkan di belakang lebih banyak negara-negara OIC sekiranya kita terus menunjukkan prestasi yang tidak baik.
RCI untuk menyiasat masalah rasuah ini amat diperlukan memandangkan negara kita telah mengalami kelumpuhan kerajaan dan parlimen selama hampir sebulan akibat dari krisis yang boleh dipanggil “Azam-gate” di mana pegawai tertinggi badan pencegahan rasuah negara gagal untuk menjadi contoh terunggul integriti, ketelusan, dan akauntabiliti dengan skandal pemegangan sahamnya, dan kemudiannya dia enggan untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.