Pengakuan Anwar bahawa Malaysia ditinggalkan di belakang Indonesia, Thailand dan Vietnam adalah petanda yang baik bahawa kita tidak lagi terjangkit dengan sindrom untuk menafikan hakikat yang kita ditinggalkan di belakang negara-negara lain selepas enam dekad usaha membina negara dan bahawa adanya keperluan untuk kita menetapkan semula dan kembali kepada prinsip-prinsip yang dipegang oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia

Pengakuan Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim, bahawa Malaysia ditinggalkan di belakang Indonesia, Thailand dan Vietnam adalah petanda yang baik bahawa kita tidak lagi terjangkit dengan sindrom untuk menafikan hakikat yang kita ditinggalkan di belakang negara-negara lain selepas enam dekad usaha membina negara dan bahawa adanya keperluan untuk kita menetapkan semula dan kembali kepada prinsip-prinsip yang dipegang oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Saya telah berulang-ulang kali menegaskan bahawa selepas enam dekad membina negara, Malaysia telah jatuh daripada status negara bertaraf dunia kepada sebuah negara yang biasa-biasa sahaja, dan melainkan kita menetapkan semula dan kembali kepada prinsip asas pembinaan negara bangsa yang diterapkan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara, trajektori semasa negara akan menyaksikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal dan sebuah kleptokrasi dalam beberapa dekad akan datang.

Saya tidak mahu Malaysia berakhir sebagai negara berpecah belah, gagal dan sebagai sebuah kleptokrasi dalam beberapa dekad akan datang, sama seperti saya tidak mahu kerajaan perpaduan Anwar digulingkan oleh satu lagi konspirasi politik seperti Langkah Sheraton — kerana inilah saya memberikan amaran berulang kali bahawa terdapat dalang yang sedang berusaha sedaya upaya untuk menamatkan hayat kerajaan perpaduan Anwar sebelum lengkap penggal lima tahunnya.

Malaysia tidak boleh menetapkan semula dan kembali kepada prinsip asas yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara melainkan kita mengakui bahawa kita telah terpesong dalam usaha membina negara kita dan bahawa kita telah ditinggalkan di belakang satu demi satu negara seperti yang dapat dilihat dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2022.

Kedua-dua kerajaan “pintu belakang” Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri tidak dapat meneruskan usaha antirasuah kerajaan Pakatan Harapan untuk mencapai keputusan yang lebih baik daripada TI CPI 1995, sebaliknya mereka bertanggungjawab untuk satu lagi kejatuhan dalam TI CPI di mana kita mendapat markah terendah dalam dekad ini dengan kedudukan ke-62 daripada 180 negara.

Kita telah ditinggalkan bukan sahaja di belakang 10 negara teratas — yang didahului oleh Denmark dan juga termasuklah Singapura — kita juga telah dipintas oleh lima negara yang sebelum ini berada di bawah kedudukan kita dalam TI CPI 1995 (Taiwan, Korea Selatan, Sepanyol, Itali, dan Greece). Tambahan lagi, kita juga telah ditinggalkan di belakang negara-negara seperti Rwanda, Arab Saudi, Croatia, Mauritius, Vanuatu, dan berada di kedudukan yang sama dengan Jordan.

Jika kita tidak meningkatkan usaha kita, kita bakal ditinggalkan di belakang Armenia, China, Cuba, Bahrain, Jamaica, Oman, Benin, Bulgaria, Ghana, Senegal, Afrika Selatan, Burkina Faso, Hungary, Kuwait, Timor-Leste, Vietnam, Kosovo, Guyana, India, Maldives, Suriname dan Tunisia menjelang penghujung dekad ini.

Malah, Indonesia juga telah menunjukkan perkembangan yang baik dengan markah 34/100 untuk tahun 2022, sedangkan Malaysia pula yang mencatatkan markah yang lebih buruk dengan hanya 47/100 pada tahun 2022.

Dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kita telah ditinggalkan di belakang Emiriah Arab Bersatu, Qatar, dan Arab Saudi. Kita juga bakal ditinggalkan di belakang lebih banyak negara-negara OIC sekiranya kita terus menunjukkan prestasi yang tidak baik.

Kerana inilah saya telah cadangkan supaya sidang Parlimen selama tujuh minggu bermula pada hari Isnin ini patut dijadikan sidang Parlimen yang tidak dapat dilupakan dengan memulakan inisiatif-inisiatif reformasi institusi untuk membolehkan Malaysia mencapai matlamat berganda untuk menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia dan juga untuk mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Sidang Parlimen yang akan datang ini patut meluluskan suatu Piagam Integriti Awam untuk melonjakkan kedudukan Malaysia menjadi salah satu negara terbaik di dunia dari segi integriti awam dan usaha membanteras rasuah, di mana kegembiraan rakyat Malaysia menjadi keutamaan tertinggi kerajaan, bukannya kegembiraan golongan kroni dan kelas ahli politik seperti yang disaksikan sebelum ini dalam laporan TI CPI 2022 yang amat memalukan.

Lim Kit Siang Veteran DAP