Menyokong reformasi Parlimen untuk menghukum mana-mana MP yang membuat pertuduhan bersifat rasis atau keagamaan, termasuklah untuk menghukum MP yang mengatakan seseorang mempromosikan Islamofobia tetapi gagal untuk mengemukakan bukti untuk tuduhan ini
Saya menyokong cadangan dari Yang di Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, supaya mana-mana Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan yang bersifat rasis, seksis, atau menghina dihukum dengan denda sebanyak RM1,000 atau digantung.
Reformasi Parlimen ini juga patut merangkumi kejadian di mana Ahli Parlimen yang membuat pertuduhan yang bersifat rasis atau menyentuh sensitiviti keagamaan, sebagai contoh, Ahli Parlimen yang menuduh sesiapa sebagai mempromosikan Islamofobia patut dihukum sekiranya mereka gagal untuk membuktikan tuduhan mereka.
Reformasi Parlimen yang menyeluruh patut menjadi ciri utama sidang Parlimen selama tujuh minggu yang bakal bermula pada hari Isnin depan.
Shad Saleem Faruqi, penyandang Kerusi Yayasan Tunku Abdul Rahman di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya yang juga merupakan Professor Emeritus di UiTM, telah mengatakan yang Parlimen berada dalam keadaan “tergantung” untuk kebanyakan dari tahun 2020 dan 2021 kerana badan ini “tidak memainkan apa-apa peranan dalam mengembalikan kestabilan politik kepada negara selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada bulan Februari 2020, dan telah menjadi pemerhati tepi krisis kesihatan dan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19”.
Shad berpendapat yang reformasi parlimen diperlukan untuk memberikan kuasa kepada peruntukan Perlembagaan mengenai fungsi-fungsi Parlimen dan untuk menambah baik keberkesanan institusi Parlimen.
Beliau menekankan yang semasa Perlembagaan Malaysia dirangka pada tahun 1957, 57 dari 181 Perkara asas Perlembagaan adalah mengenai peranan dan fungsi Parlimen yang diundi dan mewakili rakyat sebagai “denyut nadi” sistem perlembagaan dan politik negara.
Saya telah membuat pelbagai cadangan supaya sidang Parlimen yang akan datang ini menjadi sidang yang tidak dapat dilupakan dalam sejarah negara dengan memulakan pelbagai inisiatif reformasi institusi supaya Malaysia dapat mencapai cita-cita berganda untuk menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia dan mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Cadangan-cadangan ini merangkumi pembentangan laporan-laporan dari Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC), dan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) sebagai Kertas Putih di Parlimen dan menetapkan hadkan penggal perkhidmatan dan kuasa Perdana Menteri; untuk memisahkan pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya; dan untuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen untuk menjamin martabat dan kebebasan Parlimen dan meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk memastikan pelantikan hakim, termasuklah Ketua Hakim, dan pelantikan-pelantikan utama kehakiman, bebas dari pengaruh Perdana Menteri.
Saya juga telah mencadangkan supaya jumlah hari Parlimen bersidang ditingkatkan dari 71 hari pada 2023 kepada sekurang-kurangnya 100 hari setahun supaya semua keperluan reformasi legislatif dapat dijalankan dan supaya adanya sistem jawatankuasa pilihan khas parlimen (JKPK) yang aktif untuk menjadi semak imbang yang berkesan kepada pihak Eksekutif.
Akhir sekali, Rancangan Integriti Malaysia untuk menjadi panduan untuk Malaysia menjadi salah satu dari negara terbaik di dunia dari segi integriti awam, dan bukannya ditinggalkan di belakang satu demi satu negara dalam usaha membanteras rasuah perlulah dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen.