Selepas sepuluh minggu, Hadi masih gagal untuk memberikan sebarang bukti untuk menyokong tuduhannya yang mengatakan DAP kononnya anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia namun Hadi masih enggan untuk memohon maaf atas tuduhan tidak berasas ini
Selepas sepuluh minggu, Presiden PAS Hadi Awang, masih gagal untuk memberikan sebarang bukti untuk menyokong tuduhannya yang mengatakan DAP kononnya anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia namun Hadi masih enggan untuk memohon maaf dan menarik semula tuduhan tidak berasas ini.
Hadi perlu dijadikan contoh bagaimana seorang pemimpin politik/agama yang tidak bertanggungjawab boleh membuat tuduhan yang tidak masuk akal dan tidak berasas terhadap lawan politik — satu amalan yang patut dihentikan dalam era di mana politik toksik penipuan, fitnah, dan berita palsu berpotensi untuk menyebabkan polarisasi hubungan antara kaum dan agama dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia.
Hadi perlu diingatkan setiap minggu untuk membuktikan tuduhannya terhadap DAP ini atau menarik semula tuduhan ini dan memohon maaf terhadap DAP.
Hadi juga boleh dilihat sebagai gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai Duta Khas ke Timur Tengah untuk dua orang Perdana Menteri “pintu belakang” — Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri — apabila dia gagal untuk melaporkan mengenai insiden “Islamofobia di Malaysia” kepada Badan Pemerhati Islamofobia Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menjalankan pemerhatian terhadap kejadian-kejadian Islamofobia di seluruh dunia setiap hari.
Adakah Hadi cuba untuk mengatakan yang rakyat Malaysia yang tidak mengundi calon-calon PAS dalam pilihan raya sebagai mempromosikan Islamofobia?
Hadi terlepas pada tahun 2018 apabila dia membuat tuduhan tidak berasas terhadap DAP, mengatakan yang kononnya DAP adalah dalang di sebalik rancangan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) sedangkan DAP tidak tahu menahu mengenai isu ini, tetapi Hadi tidak pernah memohon maaf atas tuduhan ini walaupun dia tahu mengenai perkara yang sebenarnya.
Isu ICERD pada tahun 2018 membolehkan Hadi untuk menyebar penipuan dan fitnah yang kononnya DAP ini anti Melayu, anti Islam, dan anti Raja.
Kita tidak boleh membiarkan Hadi mendapat peluang untuk terlepas dengan perbuatan menipu, fitnah, dan memainkan politik toksik perkauman dan keagamaan buat kali kedua, dan saya akan mengingatkan rakyat Malaysia mengenai penipuan dan fitnah Hadi ini setiap minggu.