TI CPI 2022 adalah bukti paling jelas yang selepas enam dekad, Malaysia telah mundur menjadi negara kelas kedua yang berada dalam bahaya untuk dikategorikan bersama dengan negara-negara gagal lain dalam beberapa dekad yang akan datang
Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2022 adalah bukti paling jelas yang selepas enam dekad, Malaysia telah mundur menjadi negara kelas kedua yang berada dalam bahaya untuk dikategorikan bersama dengan negara-negara gagal lain dalam beberapa dekad yang akan datang.
Presiden TI Malaysia, Muhammad Mohan, mengatakan yang Malaysia telah mundur ke titik permulaan dan tindakan segera diperlukan untuk menambah baik markah CPI negara dalam tahun-tahun yang akan datang.
Muhammad Mohan tersilap. Malaysia bukannya kembali ke titik permulaan, sebaliknya kita berada dalam kedudukan yang lebih buruk berbanding dengan semasa siri TI CPI mula diterbitkan pada tahun 1995.
Usaha terbaik dalam tiga dekad yang lepas untuk menghentikan kemunduran negara dalam melawan rasuah adalah semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan sebelum kerajaan ini ditumbangkan melalui konspirasi politik Langkah Sheraton yang telah membawa masuk dua kerajaan “pintu belakang” yang tidak bertanggungjawab.
Kedudukan TI CPI Malaysia pada tahun 2019 adalah yang terbaik yang pernah dicapai negara kita dalam tempoh 25 tahun sejak penerbitan carta ini. Pada tahun 2019, kita mencapai markah 53/100 di tempat ke-51 dari 180 buah negara, berbanding dengan kedudukan ke-62 dan markah 47/100 yang dicapai Malaysia pada tahun 2017.
Dua kerajaan “pintu belakang” Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri tidak berjaya meneruskan usaha anti-rasuah Pakatan Harapan untuk mencapai kedudukan yang lebih baik berbanding dengan TI CPI 1995, sebaliknya, menjunamkan kedudukan negara dengan markah terendah dalam dekad di tempat ke-62.
Kita telah ditinggalkan bukan sahaja di belakang 10 negara teratas – yang didahului oleh Denmark dan juga termasuklah Singapura – kita juga telah dipintas oleh lima negara yang sebelum ini berada di bawah kedudukan kita dalam TI CPI 1995 (Taiwan, Korea Selatan, Sepanyol, Itali, dan Greece). Tambahan lagi, kita juga telah ditinggalkan di belakang negara-negara seperti Rwanda, Arab Saudi, Croatia, Mauritius, Vanuatu, dan berada di kedudukan yang sama dengan Jordan.
Jika kita tidak meningkatkan usaha kita, kita bakal ditinggalkan di belakang Armenia, China, Cuba, Bahrain, Jamaica, Oman, Benin, Bulgaria, Ghana, Senegal, Afrika Selatan, Burkina Faso, Hungary, Kuwait, Timor-Leste, Vietnam, Kosovo, Guyana, India, Maldives, Suriname dan Tunisia menjelang penghujung dekad ini.
Malah, Indonesia juga telah menunjukkan perkembangan yang baik dengan markah 34/100 untuk tahun 2022, sedangkan Malaysia pula yang mencatatkan markah yang lebih buruk dengan hanya 47/100 pada tahun 2022. Adakah kita hanya menunggu masa sahaja sebelum Indonesia memintas kedudukan Malaysia dan menunjukkan kepada seluruh dunia yang Indonesia lebih bersih dan kurang bermasalah rasuah berbanding dengan Malaysia?
Dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kita telah ditinggalkan di belakang Emiriah Arab Bersatu, Qatar, dan Arab Saudi. Kita juga bakal ditinggalkan di belakang lebih banyak negara-negara OIC sekiranya kita terus menunjukkan prestasi yang tidak baik.
Apa yang patut dibimbangkan oleh mereka yang mahukan Malaysia yang bersih dan tidak korup adalah hakikat di mana kita mempunyai seorang pemimpin Islam yang telah memutar belitkan ajaran Islam mengenai rasuah dengan memberikan tafsiran yang bersifat perkauman dan bukannya tafsiran Islam tentang rasuah.
Profesor Emeritus Tan Sri Mohamad Kamal Hassan, rektor ketiga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dalam bukunya “Corruption and Hypocrisy in Malay-Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation” mengakui bahawa beliau amat kecewa dan malu dengan dua krisis besar yang dihadapi negara: keruntuhan akhlak yang menyedihkan dalam bidang politik dan tadbir urus negara, dan keretakan dalaman yang semakin meluas dalam masyarakat Melayu-Islam sejak lima tahun lalu.
Kita mempunyai Perikatan Nasional yang menunggu dengan tidak sabar untuk menggantikan kerajaan perpaduan Anwar, tetapi mereka tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan dalam usaha anti-rasuah dan pembinaan semula moral negara, sebaliknya hanya akan menyumbang kepada kemerosotan berterusan negara kita dalam siri TI CPI untuk menyaksikan Malaysia menyertai negara-negara corot dalam beberapa dekad akan datang – negara-negara seperti Yaman, Venezuela, Sudan Selatan, Syria dan Somalia.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, komited untuk memastikan bahawa TI CPI 2023 akan menunjukkan “perbezaan ketara”, mengakui bahawa rasuah “adalah masalah besar dalam negara kita dari atas hingga ke bawah dan kita mesti tegas dan tidak bertolak ansur. ” manakala kedua-dua Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang dari Perikatan Nasional tidak mempunyai komitmen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih dan bebas rasuah.
Inilah sebab penting mengapa kerajaan perpaduan Anwar perlu mendapat sokongan penuh rakyat, supaya Malaysia boleh menjadi salah satu negara terbaik di dunia dari segi integriti awam dan pencegahan rasuah, dan bukannya menjadi negara yang berpecah belah, gagal dan kleptokratik.
Kerajaan perpaduan Anwar adalah peluang terakhir untuk Malaysia menetapkan semula dan kembali kepada prinsip pembinaan negara asal yang telah diamalkan oleh tokoh kemerdekaan negara yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara dan semua rakyat yang cintakan Malaysia tidak boleh membiarkan negara kita gagal untuk menjadik sebuah negara hebat yang bertaraf dunia.
Itulah sebabnya saya menyarankan agar mesyuarat Parlimen yang akan berlangsung dalam masa dua minggu lagi untuk mengambil kira TI CPI 2022 dan membentangkan rancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara terbaik di dunia dari segi integriti awam dan pencegahan rasuah.