Azam dicabar untuk memberi fakta dan angka untuk membuktikan kenyataannya semalam yang mengatakan “Rasuah, salah guna kuasa di Pulau Pinang membimbangkan”
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, dicabar untuk memberi fakta dan angka untuk membuktikan kenyataannya semalam yang mengatakan “Rasuah, salah guna kuasa di Pulau Pinang membimbangkan”.
Tanpa mengira mana-mana negeri, kes-kes rasuah dan salah guna kuasa perlulah dihapuskan sekiranya ia sudah mencapai tahap “membimbangkan”.
Adakah Azam Baki mempunyai fakta dan angka untuk membuktikan kenyataannya ini?
Negeri manakah yang paling dan kurang korup dalam negara?
Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak sepatutnya membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab terhadap mana-mana negeri tanpa fakta dan angka.
Dia mengatakan yang SPRM telah menerima 312 maklumat mengenai penerimaan rasuah dan 147 maklumat mengenai salah guna kuasa di Pulau Pinang.
Berapakah angkanya di negeri-negeri lain di Malaysia dan apakah jangka masa yang diperkatakan Azam ini?
Berapa ramaikah yang telah didakwa oleh SPRM di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa di Pulau Pinang dan bagaimanakan angkanya di negeri-negeri lain?
Tambahan lagi, adakah kes-kes ini berkaitan dengan kerajaan Persekutuan atau Negeri.
Ini adalah satu lagi perkara yang patut dibangkitkan apabila Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di Jabatan Perdana Menteri memanggil Azam untuk memberi penjelasan.
JPK Agensi di Jabatan Perdana Menteri ini mempunyai banyak tugas yang belum selesai dan tugas baharu yang memerlukan mesyuarat segera JPK ini dalam minggu pertama sidang Parlimen pada bulan Oktober ini supaya JPK ini dapat menghantar laporan pertamanya kepada Dewan Rakyat.
Perkara-perkara yang perlu diselesaikan oleh JPK ini termasuklah:
- Isu konflik kepentingan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, yang memiliki sejumlah besar saham korporat yang tidak diisytiharkan;
- Kenyataan Azam hampir dua bulan lepas yang SPRM akan mengumumkan dapat siasatannya terhadap kontrak enam buah kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion yang bermula beberapa tahun yang lepas tanpa ada apa-apa yang diumumkan sehingga kini;
- Kenyataan Azam pada bulan Julai yang mengatakan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International tidak menggambarkan keadaan sebenar rasuah dalam sesebuah negara dan bahawa CPI mengukur persepsi rasuah dalam sektor awam di pelbagai negara ini tidak berasaskan kepada fakta atau bukti. Adakah kritikan Azam terhadap TI CPI bermakna SPRM kini tidak menyokong Pelan Integriti Kebangsaan yang menyasarkan Malaysia untuk berada dalam kalangan 30 negara teratas dengan paling kurang rasuah?
- JPK perlu bertanya kepada SPRM, apakah yang dilakukan badan tersebut untuk memastikan Malaysia tidak ditinggalkan di belakang Indonesia, China, dan India, dan juga banyak negara lain lagi dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam penerbitan carta TI CPI menjelang penghujung dekad ini;
- Hasil siasatan SPRM terhadap individu yang dinamakan dalam lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) seperti yang didedahkan semasa perbicaraan rasuah Presiden UMNO yang merupakan bekas Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi.
Ada sekurang-kurangnya enam perkara mengenai SPRM yang perlu diselesaikan oleh JPK Agensi di Jabatan Perdana Menteri ini.