Hishammuddin patut membuat Kenyataan Menteri mengenai skandal LCS RM9 billion pada hari pertama sidang Parlimen dan menjelaskan mengapa skandal ini bukan satu lagi skandal seperti 1MDB
Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, patut membuat Kenyataan Menteri mengenai skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion pada hari Isnin, 3 Oktober 2022 dan menjelaskan mengapa skandal ini bukan satu lagi skandal seperti 1MDB.
Setakat ini, perolehan enam buah LCS oleh Kementerian Pertahanan ini telah mencipta sejarah dengan melangkaui tempoh lima rancangan Malaysia.
Rancangan ini bermula semasa tempoh Rancangan Malaysia ke-sembilan semasa Najib Razak merupakan Menteri Pertahanan dalam Kabinet Abdullah Badawi dan menurut Panglima Angkatan Malaysia, Affendi Buang, dua minggu yang lepas, kapal-kapal ini hanya mula dihantar dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-13 (2026 – 2030) – dengan kapal pertama dijangka siap pada Januari 2026, kapal kedua pada September 2026, kapal ketiga pada Mei 2027, kapal keempat pada Januari 2028, dan kapal kelima pada September 2028.
Bilakah kapal keenam dijangkakan siap atau adakah rancangan untuk kapal keenam ini telah pun dikaramkan?
Projek perolehan enam LCS yang melibatkan RM9 billion yang mungkin memegang rekod sebagai projek yang melangkaui lima RMK untuk disiapkan ini menjadi satu lagi bukti salah guna kuasa, pecah amanah, dan kleptokrasi dalam tadbir urus di Malaysia sejak dari era RMK-9 sehinggalah sekarang.
Tidak ada apa-apa tindakan sudah diambil walaupun dua bulan sudah berlalu sejak dari kenyataan Azam dikeluarkan.
Terdapat satu persoalan yang perlu dijawab oleh Hishammuddin dalam Kenyataan Menteri pada hari pertama sidang Parlimen pada minggu hadapan – apakah kos sebenar perolehan enam buah LCS ini kerana sudah jelas sekarang yang RM9 billion yang diluluskan untuk perolehan enam LCS ini tidak mencukupi.
Menteri Pertahanan bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada Parlimen dan rakyat mengenai perkembangan terkini projek LCS ini.