Ismail Sabri tidak patut mensia-siakan Belanjawan 2023-nya dengan membubarkan Parlimen sebelum Belanjawan ini dibahas dan diluluskan Parlimen
Salah satu senario yang mungkin berlaku yang sedang diperkatakan dalam negara adalah Belanjawan 2023 akan dibentangkan di Parlimen pada hari Jumaat, 7 Oktober dan Parlimen akan dibubarkan pada hari Isnin, 10 Oktober 2022.
Sekiranya perkara ini berlaku, Belanjawan 2023 – apabila dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober – akan gagal menjadi belanjawan. Ismail juga akan menuruti langkah salah satu contoh terburuk di Parlimen yang dibuat Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada tahun 1999.
Perdana Menteri, Ismail Sabri, tidak sepatutnya mensia-siakan Belanjawannya sendiri dengan membubarkan Parlimen sebelum belanjawan ini dibahaskan dan diluluskan oleh Parlimen. Kerana inilah saya telah menyeru kepadanya semalam untuk mengumumkan selewat-lewatnya menjelang 6 Oktober bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 tidak akan diadakan tahun ini kerana musim tengkujuh dan bencana banjir, jika tidak, tidak ada sesiapa pun yang akan berminat dengan Belanjawan 2023 ini, sebaliknya semua akan menumpukan perhatian kepada persoalan bilakah Parlimen akan dibubarkan.
Belanjawan 2023 ini sepatutnya membentangkan rancangan kerajaan untuk melawan peningkatan harga dan inflasi, meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, menjadikan Malaysia destinasi menarik untuk pelabur asing, mengurangkan beban rakyat, dan mempromosikan konsep Keluarga Malaysia Perdana Menteri untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan.
Namun, adakah matlamat-matlamat ini tidak mempunyai apa-apa makna untuk Ismail Sabri walaupun dia baru-baru ini hadir di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sehinggakan Belanjawan 2023 pun hendak disia-siakan?
Saya telah katakan sekiranya Ismail Sabri bertindak dengan tidak bertanggungjawab dengan meminta pembubaran Parlimen dengan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong selepas pembentangan Belanjawan 2023, baginda mempunyai dua sebab yang kuat untuk menolak memberi perkenan kepada permintaan ini, iaitu:
1. Parlimen tidak patut dijadikan bahan jenaka atau permainan politik sebaliknya perlulah diberikan ruang untuk membahas dan meluluskan Belanjawan 2023 selepas dibentangkan melainkan terdapatnya undian tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan tidak ada sesiapa yang dapat membentuk kerajaan; dan
2. Musim tengkujuh dan bencana banjir telah mengorbankan 54 nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda peribadi dan awam yang melibatkan sejumlah RM6.5 billion pada tahun lepas.
Masanya sekarang adalah untuk semua persediaan ditumpukan kepada bencana yang mungkin berlaku apabila musim tengkujuh melanda sepenuhnya untuk memastikan korban nyawa dan kerosakan yang minima di seluruh negara.
Akan menjadi satu titik hitam berganda terhadap kepimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sekiranya dia mensia-siakan Belanjawan 2023-nya dan bencana banjir yang terburuk dalam sejarah negara terjadi semasa dia menjadi Perdana Menteri, kerana perkara ini bukan sahaja akan memadamkan slogan “Keluarga Malaysia”, tetapi juga segala perkara yang telah diusahakannya selama ini.
Beranikah Ismail Sabri bertindak demi kepentingan negara, yang sepatutnya diutamakan berbanding dengan kepentingan “kluster mahkamah” dalam pimpinan UMNO?
Sekiranya Peguam Negara boleh bertindak demi kepentingan negara dengan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai pertuduhan rasuah terhadap Presiden UMNO, Zahid Hamidi, bagaimana pula dengan Perdana Menteri negara kita?