Seruan kepada Ismail Sabru untuk mengumumkan selewat-lewatnya hari Khamis hadapan bahawa PRU15 tidak akan diadakan pada tahun ini dalam musim tengkujuh dan banjir, jika tidak, tidak akan ada sesiapa pun yang berminat dengan Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan pada 7 Oktober sebaliknya semua tertumpu kepada persoalan bilakah Parlimen akan dibubarkan
Perdana Menteri, Ismail Sabri, perlu mengumumkan selewat-lewatnya hari Khamis, 6 Oktober, bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 tidak akan diadakan pada tahun ini dalam musim tengkujuh dan banjir, jika tidak, tidak akan ada sesiapa pun yang berminat dengan Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan pada 7 Oktober sebaliknya semua tertumpu kepada persoalan bilakah Parlimen akan dibubarkan.
Di Johor, banjir telah pun mula terjadi.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, telah mengatakan semalam bahawa tidak sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun ini memandangkan musim hujan lebat dan banjir dijangkakan pada pertengahan bulan November.
Dia mengatakan, berdasarkan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, negara kita bakal menerima lebih banyak hujan pada pertengahan bulan November berbanding dengan mana-mana bulan lain.
Sekiranya Ismail Sabri bertindak dengan tidak bertanggungjawab dengan meminta pembubaran Parlimen dengan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong selepas pembentangan Belanjawan 2023, baginda mempunyai dua sebab yang kuat untuk menolak memberi perkenan kepada permintaan ini, iaitu:
1. Parlimen dipatut dijadikan bahan jenaka atau permainan politik sebaliknya perlulah diberikan ruang untuk membahas dan meluluskan Belanjawan 2023 selepas dibentangkan melainkan terdapatnya undian tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan tidak ada sesiapa yang dapat membentuk kerajaan; dan
2. Musim tengkujuh dan bencana banjir telah mengorbankan 54 nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda peribadi dan awam yang melibatkan sejumlah RM6.5 billion pada tahun lepas.
Masanya sekarang adalah untuk semua persediaan ditumpukan kepada bencana yang mungkin berlaku apabila musim tengkujuh melanda sepenuhnya untuk memastikan korban nyawa dan kerosakan yang minima di seluruh negara.
Akan menjadi satu titik hitam terhadap kepimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sekiranya bencana banjir yang terburuk dalam sejarah negara terjadi semasa dia menjadi Perdana Menteri, kerana perkara ini bukan sahaja akan memadamkan slogan “Keluarga Malaysia”, tetapi juga segala perkara yang telah diusahakannya selama ini.
Inilah masanya untuk Ismail Sabri memutuskan sama ada kepentingan negara atau kepentingan “kluster mahkamah” dalam UMNO yang mempunyai keutamaan yang lebih tinggi.