Pemimpin UMNO kini semakin terdesak secara terang-terangan – mereka memilih untuk menyerang badan kehakiman selepas Najib dipenjarakan dan bukannya untuk mengutuk rasuah dan mereka mahu pilihan raya umum awal walaupun terpaksa “meredah air banjir” untuk memberitahu seluruh dunia bahawa skandal 1MDB bukanlah satu skandal rasuah
Pemimpin UMNO kini semakin terdesak secara terang-terangan – mereka memilih untuk menyerang badan kehakiman selepas Najib dipenjarakan dan bukannya untuk mengutuk rasuah dan mereka mahu pilihan raya umum awal walaupun terpaksa “meredah air banjir” untuk memberitahu seluruh dunia bahawa skandal 1MDB bukanlah satu skandal rasuah.
Presiden UMNO Zahid Hamidi bercakap berpusing-pusing dalam cubaannya untuk menjelaskan ucapannya pada majlis pelancaran jentera BN di Kuala Lumpur Sabtu lalu mengenai kesediaan UMNO untuk “meredah air banjir” dalam PRU15.
Perubahan watak UMNO sejak zaman penubuhan UMNO dapat dilihat daripada ucapan Zahid pada Sabtu lalu, kerana tiada seorang pun daripada empat Presiden UMNO terawal, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein dan Hussein Onn yang akan membuat kenyataan sedemikian yang langsung tidak sensitif terhadap kehilangan nyawa manusia dan kerosakan harta benda yang besar dalam musim tengkujuh dan banjir. Dalam tahun lepas sahaja, 54 nyawa telah terkorban dan sejumlah RM6.5 bilion kerugian telah dicatatkan akibat kerosakan harta benda.
Keempat-empat Presiden UMNO terawal ini juga akan berada di barisan hadapan untuk mengutuk rasuah, satu perkara yang Zahid telah gagal untuk lakukan pada Sabtu lepas.
Adakah Zahid akan dipercayai jika dia mengisytiharkan perang menentang rasuah pada PRU15?
Setakat ini, baik UMNO mahupun BN tidak mengambil pendirian bahawa PRU15 tidak sepatutnya diadakan pada musim tengkujuh dan banjir.
Malah Presiden MCA, Wee Ka Siong, tidak berani mengambil pendirian sedemikian. Apa yang dia berani katakan adalah MCA mesti bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku.
Sebab mengapa MCA tidak bersedia untuk mengambil pendirian bahawa PRU15 tidak sepatutnya diadakan pada musim tengkujuh dan banjir adalah jelas – untuk tidak menyinggung UMNO yang “kleptokratik”!
Adakah UMNO dan BN berani untuk mengambil pendirian bahawa PRU15 tidak sepatutnya diadakan pada musim tengkujuh dan banjir selepas ucapan Zahid pada pelancaran BN Sabtu lalu?
Inilah ujian untuk UMNO dan BN!