Cara terbaik untuk memperingati Dr. Chen Man Hin adalah dengan meneruskan visi Impian Malaysianya – untuk Malaysia menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia yang jujur, efektif, dan bersih dari rasuah
Cara terbaik untuk memperingati Dr. Chen Man Hin, Pengerusi Pengasas Parti Tindakan Demokratik selama 30 tahun, yang telah mendedikasikan lebih dari lima dekad hidupnya kepada Malaysia, adalah dengan meneruskan visi Impian Malaysianya – untuk Malaysia menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia yang jujur, efektif, dan bersih dari rasuah.
Saya ingin berterima kasih kepada Ketua Polis Negara yang paling lama berkhidmat, Tun Haniff Omar, kerana menyah-rahsiakan satu dokumen yang disimpan di bawah Akta Rahsia Rasmi selama lebih dari lima puluh tahun – kenyataan yang dibuat saya kepada pihak Polis semasa dalam tahanan lokap di Balai Polis Kuala Selangor di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selepas saya kembali ke Malaysia pada 18 Mei 1969 walaupun selepas dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian.
Saya ditanya oleh pihak polis pada tahun 1969, apakah kepercayaan politik saya, dan berikut adalah kenyataan saya:
- Malaysia adalah sebuah masyarakat pelbagai kaum, bahasa, dan budaya, dan sebuah bangsa Malaysia yang berdaya maju hanya boleh dibentuk sekiranya semua kaum dan kumpulan dalam negara ini diberikan kepentingan yang sama.
- Melainkan rakyat Malaysia dari semua kaum mempunyai lebih banyak persamaan di antara satu sama lain berbanding dengan “saudara sedarah” mereka yang mungkin berada di China, India, atau Indonesia, Malaysia tidak boleh dikatakan sebagai telah menjadi “sebuah Negara Rakyat Malaysia”.
- Dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia, keganasan dan sebarang ideologi paksaan hanya akan membawa kepada kemusnahan negara kerana perkara ini akan secara pantas membawa kepada konflik perkauman. Oleh itu, saya mengecam paksaan dan keganasan dalam semua bentuk.
- Dalam masyarakat pelbagai kaum, sekiranya ada mana-mana kumpulan kaum berasa yang mereka ketinggalan, baik dari pendidikan, ekonomi, budaya, bahasa, atau politik, maka antagonisme perkauman akan wujud. Segala usaha diperlukan untuk menghapuskan ketidakseimbangan di antara kaum dan kumpulan ini.
- Kemiskinan bukanlah masalah perkauman. Ia adalah masalah sosio-ekonomi. Untuk menganggap kemiskinan sebagai masalah perkauman hanya akan meningkatkan antagonisme perkauman di dalam negara ini.
- Saya mahukan sebuah kerajaan yang bersih, jujur, efisyen, bebas dari rasuah, dan berkesan.
DAP kini berusia 56 tahun namun kita tidak pernah terpesong daripada prinsip-prinsip asas ini seperti mana yang berlaku kepada parti-parti politik lain.
Empat orang Presiden UMNO yang terawal, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein, misalnya, tidak akan mengenali UMNO pada hari ini.
Malah, bekas Timbalan Presiden UMNO pada awal tahun 80-an, Musa Hitam, baru-baru ini telah mengatakan: “Apa yang mereka telah lakukan kepada UMNO”.
Penting untuk diperhatikan apabila tidak ada sesiapa pun yang berani mencabar pemerhatian seorang pemerhati UMNO yang mengatakan bahawa pada hari-hari awal UMNO, sukar untuk kita mencari seorang jutawan dalam kalangan ketua bahagian UMNO. Selepas lebih dari enam dekad Merdeka, kini sukar untuk kita cari ketua bahagian UMNO yang bukan seorang jutawan.
Penting juga untuk kita lihat parti-parti politik lain, seperti MCA dan MIC, tidak berani untuk mengutuk dan menjauhkan diri mereka dari skandal mega 1MDB selepas sedekad, yang telah menyebabkan Malaysia terkenal di seluruh dunia sebagai sebuah kleptokrasi.
Hari ini, terdapat satu lagi perkembangan penting – pelancaran buku Professor Mohd Kamal Hassan, Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu, oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda memberikan amaran bahawa kita “tidak boleh bersilat dengan segala helah mahu menidakkan kewujudan ‘gajah’ rasuah di hadapan mata”.
Bolehkah rakyat Malaysia mengambil inspirasi daripada titah Sultan Nazrin dan kehidupan Dr. Chen Man Hin yang mendedikasikan kehidupannya kepada Impian Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat majmuk yang bertaraf dunia, yang jujur, berkesan, dan bebas dari rasuah?
Sokongan dan solidariti yang ditunjukkan sempena pemergian Dr. Chen Man Hin mengingatkan saya kepada sajak Henry Wadsworth Longfellow yang saya pelajari di sekolah pada tahun 50-an:
“Kehidupan orang-orang yang hebat mengingatkan kita semua, kita boleh menjadikan hidup kita mulia, dan, meninggalkan di belakang kita, jejak kaki dalam sejarah.”
Dr. Chen telah menjalani satu kehidupan yang mulia dan meninggalkan jejaknya dalam sejarah negara.