Seruan kepada Zahid untuk menarik semula kenyataannya yang mengatakan pemimpin UMNO bersedia untuk “meredah banjir” sekiranya PRU15 diadakan pada musim tengkujuh dan bencana banjir untuk membuktikan yang UMNO masih sebuah parti yang bertanggungjawab dan peduli rakyat
Saya menyeru Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, untuk menarik semula kenyataannya yang mengatakan pemimpin UMNO bersedia untuk “meredah banjir” sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan pada musim tengkujuh dan bencana banjir untuk membuktikan yang UMNO masih sebuah parti yang bertanggungjawab dan peduli rakyat.
Empat presiden terawal UMNO, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn, tidak akan mengatakan perkara seperti itu atau menganggap kehilangan 54 nyawa dan kerosakan harta benda yang bernilai RM6.5 billion seperti yang berlaku semasa bencana banjir tahun lepas sebagai satu perkara tidak penting yang tidak perlu diendahkan, dan perkara ini menunjukkan betapa berbezanya UMNO hari ini di bawah Zahid Hamidi berbanding dengan UMNO dalam hari-hari awalnya.
Tidak ada sesiapa pun yang berani untuk mencabar pemerhatian seorang pemerhati UMNO yang mengatakan, dalam hari-hari awal parti tersebut, sukar untuk kita mencari ketua bahagian UMNO yang merupakan seorang jutawan. Sebaliknya selepas enam dekad kemerdekaan, kini sukar untuk kita cari ketua bahagian UMNO yang bukan seorang jutawan.
Siapakah yang telah menerima manfaat dari UMNO selama berdekad-dekad – orang Melayu dan rakyat Malaysia atau UMNO-putra seperti Zahid Hamidi?
Kini, kita mempunyai satu lagi contoh di mana Zahid Hamidi mengambil ringan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda rakyat yang melibatkan berbillion ringgit akibat musim tengkujuh dan bencana banjir – satu pendirian yang tidak akan dipegang oleh empat pemimpin UMNO terawal.
Tidak mengejutkanlah UMNO telah menjadikan Malaysia sebuah syurga kleptokrat di dunia – juga satu perkara yang tidak akan dibiarkan oleh empat pemimpin terawal UMNO.
Bolehkah UMNO kembali kepada prinsip dan perjuangan empat pemimpin terawalnya – yang mengutamakan khidmat sebelum kepentingan diri?