Adakah Yang di Pertuan Agong akan buat pertama kali dalam sejarah Malaysia tidak memberi perkenan untuk permintaan pembubaran Parlimen?
Adakah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, akan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia tidak memberi perkenan untuk permintaan pembubaran Parlimen sekiranya Perdana Menteri Ismail Sabri, bertindak secara tidak bertanggungjawab tanpa mengambil kira kesan terhadap kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa akibat musim tengkujuh dan bencana banjir untuk memohon pembubaran Parlimen?
Kemungkinan ini perlu dipertimbangkan sekarang memandangkan yang Presiden UMNO, Zahid Hamidi, telah mengatakan yang para pemimpin UMNO bersedia untuk meredah air banjir sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan semasa musim tengkujuh dan semasa negara berhadapan dengan bencana banjir.
Artikel 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa budi bicara kepada Yang di Pertuan Agong untuk “tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen” dan cubaan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 ketika mana negara berhadapan dengan musim tengkujuh dan bencana banjir tanpa mengambil peduli terhadap kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa yang mungkin berlaku, adalah sebab yang kuat untuk baginda menolak permintaan pembubaran Parlimen ini.
Saya telah katakan semalam, pada tahun lepas, negara kita menanggung kerosakan yang bernilai hampir RM6.5 billion akibat bencana banjir di Lembah Klang dan beberapa negeri di seluruh negara, dengan sejumlah 54 korban nyawa.
Angka ini bukanlah dibuat-buat, sebaliknya merupakan angka rasmi yang dipetik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapha Mohamed.
Adakah Presiden UMNO berkeras juga mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 semasa musim tengkujuh dan bencana banjir, tanpa mengambil peduli terhadap kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa yang dihadapi rakyat?