Soalan yang salah untuk ditanya: “Orang Melayu macam manakah yang kamu mahu?” sedangkan soalannya sepatutnya: “Orang Melayu, Cina, India, Kadazan, dan Dayak yang macam manakah yang kamu mahu?”

Seseorang telah bertanya: “Orang Melayu macam mana kamu mahu?”

Ini adalah soalan yang salah. Soalan yang sepatutnya ditanya adalah “Orang Melayu, Cina, India, Kadazan, dan Dayak yang macam mana yang kamu mahu?”

Baru-baru ini saya telah menerima dokumen rahsia dari tahun 1969 yang telah dinyah-rahsia – keterangan yang saya berikan kepada pihak polis semasa dalam tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di lokap Balai Polis Kuala Selangor sejurus selepas saya pulang ke Malaysia secara sukarela pada 18 Mei 1969.

Saya ditanya mengenai “pendirian politik” dan “perancangan masa hadapan” saya dan berikut adalah apa yang saya katakan kepada pihak Polis pada tahun 1969:

“83. Seperti mana-mana rakan sekerja dalam DAP, saya percaya:

(a) Malaysia adalah sebuah masyarakat pelbagai kaum, bahasa, dan budaya, dan sebuah bangsa Malaysia yang berdaya maju hanya boleh dibentuk sekiranya semua kaum dan kumpulan dalam negara ini diberikan kepentingan yang sama.

(b) bahawa dalam masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia, keganasan dan sebarang ideologi paksaan, misalnya seperti yang dibawa oleh PKM, yang akan membawa kepada kemusnahan negara kerana perkara ini akan secara pantas membawa kepada konflik perkauman. Oleh itu, saya mengecam paksaan dan keganasan dalam semua bentuk.

(c) bahawa dalam masyarakat pelbagai kaum, sekiranya ada mana-mana kumpulan kaum berasa yang mereka ketinggalan, baik dari pendidikan, ekonomi, budaya, bahasa, atau politik, maka antagonisme perkauman akan wujud. Segala usaha diperlukan untuk menghapuskan ketidakseimbangan di antara kaum dan kumpulan ini.

(d) bahawa kemiskinan bukanlah masalah perkauman. Ia adalah masalah sosio-ekonomi. Untuk menganggap kemiskinan sebagai masalah perkauman hanya akan meningkatkan antagonisme perkauman di dalam negara ini.

(e) bahawa sosialisme demokratik boleh menutup jurang di antara mereka yang berada dan mereka yang tidak berada dari kalangan semua kaum.

(f) bahawa saya mahukan kerajaan yang bersih, jujur, efisien, berdaya tahan terhadap rasuah, dan berkesan.

(g) bahawa hanya demokrasi berparlimen sahaja yang boleh mengelakkan pertembungan perkauman. Sebarang bentuk kerajaan yang lain hanya akan membawa kepada syak wasangka perkauman.

(h) bahawa komunisme tidak kondusif dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.”

“Rancangan masa hadapan saya

84. Saya berhasrat untuk meneruskan kerja politik saya dalam DAP untuk membantu membawa sebuah negara yang tulen untuk semua rakyat Malaysia:

(a) di mana semua rakyat, tanpa mengira kaum, bahasa, atau agama, menganggap dirinya sebagai pertamanya rakyat Malaysia dan meletakkan identiti kaum di tempat kedua;

(b) di mana rakyat Malaysia dari semua kaum mempunyai lebih banyak persamaan di antara satu sama lain berbanding dengan “saudara sedarah” mereka yang mungkin berada di China Merah/Nasionalis, India, atau Indonesia. Melainkan kita berjaya mencapai matlamat ini, Malaysia tidak boleh dikatakan sebagai telah menjadi “sebuah Negara Rakyat Malaysia”.

85. Di dalam dan di luar Parlimen, tema saya dan parti saya akan terus menjadi:

(a) bahawa semua rakyat Malaysia perlu mempunyai kesedaran Malaysia;

(b) untuk bekerjasama menjadi Malaysia sebuah negara yang bersatu padu, harmoni, dan makmur.”

Jawapan saya kepada pihak Polis 54 tahun yang lepas adalah jawapan yang terbaik kepada soalan: “Orang Melayu, Cina, India, Kadazan, dan Dayak yang macam manakah yang kamu mahu?”

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri