Cubaan mengadakan PRU15 dalam musim tengkujuh dan ketika negara berhadapan dengan bencana banjir adalah alasan yang sah dan bertepatan untuk Yang di Pertuan Agong menolak permohonan membubarkan Parlimen melainkan terdapatnya undi tidak percaya di Parlimen
Presiden UMNO, Zahid Hamidi, benar-benar mendesak supaya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan pada tahun ini, walaupun sekiranya pemimpin UMNO perlu meredah air banjir – namun Zahid tidak mengatakan apa yang akan dibuat oleh para pemimpin UMNO sekiranya air banjir naik terlalu tinggi sehingga tidak dapat diredah mereka.
Keterdesakan Zahid untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 ini amat jelas, sehingga dia kelihatan tidak peduli mengenai kerosakan besar dan kehilangan nyawa yang bakal disebabkan oleh musim tengkujuh dan bencana banjir.
Pada tahun lalu, negara kita berhadapan dengan kerosakan besar yang dijangkakan bernilai sehingga RM6.5 billion akibat banjir di Lembah Klang dan beberapa negeri lain – dengan kerosakan sehingga RM1.5 billion terhadap rumah-rumah, kerosakan sekitar RM500 ke RM600 juta kerosakan terhadap premis perniagaan, RM1 ke RM1.3 billion kerosakan terhadap kenderaan, kerosakan sekitar RM2 billion terhadap aset awam dan infrastruktur, kerosakan sekitar RM800 juta ke RM1 billion kepada industri pembuatan, dan kira-kira RM40 juta kerosakan yang dihadapi oleh sektor pertanian, dengan 54 nyawa terkorban.
Bukankah menjadi tanggungjawab sebuah kerajaan, terutamanya kerajaan yang menggunakan slogan “Keluarga Malaysia”, untuk memberikan keutamaan untuk mengurangkan kerosakan dan kehilangan nyawa yang disebabkan oleh musim tengkujuh dan bencana banjir pada tahun ini berbanding dengan mengadakan pilihan raya awal?
Saya berani katakan yang cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 lebih awal ketika musim tengkujuh dan semasa berlakunya bencana banjir adalah alasan yang sah dan kuat untuk Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong menolak permohonan untuk membubarkan Parlimen – melainkan terdapatnya undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen.
Dan sekiranya ada undi tidak percaya terhadap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri di Parlimen, perkara ini akan membawa kepada pelbagai kemungkinan yang boleh mengetepikan keperluan untuk mengadakan pilihan raya umum pada hujung tahun ini.