Bolehkah Malaysia mengelakkan nasib menjadi sebuah negara gagal seperti Sri Lanka?
Dua buku yang dilancarkan hari ini mempunyai tajuk yang suram, “Malaysia Towards GE15 and Beyond” dan “Dark Forces Changing Malaysia”, tetapi buku-buku ini mengandungi persoalan yang penting memandangkan keputusan akhir masih belum dibuat dan seperti yang dikatakan oleh halaman terakhir buku mengenai “Kuasa Gelap”: PRU15 akan menentukan masa hadapan negara – sebuah Malaysia-Melayu atau Malaysian-Malaysia.
Pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dan sabitan bersalah isterinya, Rosmah Mansor, dan kata-kata bersifat tidak rasional, ekstremis, dan pelampau dari Hadi Awang, mungkin akan membawa arus perubahan dalam politik Malaysia.
Para pimpinan UMNO telah meletakkan diri mereka dalam kedudukan untuk bukan sahaja mempertahankan skandal mega 1MDB, tetapi untuk berada dalam barisan hadapan usaha untuk memesongkan dasar dan prinsip pembinaan negara yang telah menjadi panduan kepada empat orang Presiden terawal UMNO, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn, dengan menyerang doktrin pemisahan kuasa dan prinsip-prinsip seperti kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman, tadbir urus baik, dan menghormati hak asasi manusia.
Dua perkara telah menarik perhatian saya baru-baru ini – majlis rujukan khas pihak kehakiman oleh badan kehakiman kepada bekas ketua hakim Salleh Abas, di mana Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengatakan yang krisis perlembagaan 1988 telah menunjukkan walaupun ada usaha untuk merendahkan kebebasan pihak kehakiman, para hakim perlu terus berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan cekal menegakkan kedaulatan undang-undang.
Menggambarkan krisis perlembagaan 1988 yang menyaksikan penyingkiran Salleh dari jawatannya sebagai Ketua Hakim sebagai satu “”detik gelap dalam sejarah kehakiman Malaysia”, Tengku Maimun menekankan bahawa badan kehakiman yang bebas dari pengaruh luar adalah “asas sistem pegangan perlembagaan dalam masyarakat berdemokratik”.
Beliau mengatakan: “Perkara ini adalah asas kuasa kehakiman dan merupakan teras utama doktrin pemisahan kuasa”.
Untuk tiga dekad sejak dari krisis perlembagaan 1988, prinsip pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, dan kebebasan badan kehakiman diragui – namun, keajaiban politik Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 akhirnya membawa perubahan.
Perkara ini adalah satu perkembangan terkini yang penting untuk menetapkan semula hala tuju negara dengan kembali semula kepada prinsip-prinsip dan dasar-dasar asal pembinaan negara untuk memenuhi potensi Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang hebat yang bertaraf dunia – namun perkara ini hanyalah satu langkah pertama dan kita masih perlu melakukan banyak lagi perkara sebelum Malaysia dapat diselamatkan.
Satu lagi perkara pula adalah komen dari bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam, yang mengatakan dia tidak pernah melihat mahkamah di negara kita bertindak sebegitu bebas sekali dalam perkara yang berkaitan politik sebelum ini.
Adakah tiga juta ahli-ahli UMNO akan cuba untuk memusnahkan apa yang telah dibina oleh empat orang Presiden UMNO yang terawal yang menerapkan prinsip-prinsip untuk membina negara sebuah masyarakat majmuk – sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, integriti awam, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, kerakyatan yang saksama, dan perpaduan negara dari masyarakat pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya yang merupakan satu aset untuk kita dan bukannya satu liabiliti?
Saya lebih melihat kepada sisi yang lebih cerah, berbanding dengan aspek negatif kenyataan Hadi baru-baru ini yang bersifat tidak rasional dan ekstremis, seperti pertuduhan tidak berasasnya yang mengatakan orang bukan Melayu dan bukan Bumiputera adalah punca utama rasuah, memandangkan perkara ini menjadi peluang terbaik untuk Islam di Malaysia membuktikan kepada dunia yang ia juga dapat berkembang mengikut realiti keagamaan yang pelbagai di seluruh dunia, terutamanya dengan pertumbuhan kebebasan di Timur Tengah dan negara-negara Islam yang penting di seluruh dunia. Mengapakah Hadi diharamkan dari ke Arab Saudi dan negara-negara OIC yang lain walaupun dia merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang bertaraf menteri!
Hari ini, terdapat satu penulisan di Malaysiakini yang bertajuk: “PRU15: Semoga gabungan yang paling kurang dibenci menang” yang telah mengatakan:
“Harapan, yang telah diberikan mandat untuk mentadbir negara pada tahun 2018, telah meninggalkan ramai penyokongnya keliru dan kecewa selepas mengabaikan sebahagian besar manifesto pilihan rayanya.”
Pertamanya, Pakatan Harapan tidak pernah memungkiri manifesto pilihan rayanya. Saya masih ingat perjumpaan saya dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada pertengahan tahun 2019 untuk mengingatkan dia mengenai kepentingan memenuhi janji pilihan raya Pakatan Harapan dan untuk berterus terang dengan rakyat mengenai mana-mana janji yang tidak dapat dipenuhi dalam mandat lima tahun ini.
Saya meninggalkan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 21 Februari 2020 dengan keyakinan yang Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri negara pada penghujung tahun selepas persidangan APEC, namun, konspirasi Langkah Sheraton selepas mesyuarat Majlis Presiden PH telah mengubah hala tuju sejarah negara.
PRU15 akan membuktikan sama ada kita mampu untuk mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di Sri Lanka dan mengelak dari menerima nasib menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, atau sebuah negara gagal, sebaliknya menggunakan aset kita sebagai pertemuan empat tamadun hebat dunia untuk menjadi sebuah negara majmuk yang bertaraf dunia.
Sekiranya Sri Lanka mempunyai satu tempoh dalam tujuh puluh tahun yang lepas, di mana mereka dapat bertanya, di manakah silapnya, dan memperbetulkan hala tuju dan menetapkan semula dasar dan prinsip pembinaan negaranya, negara tersebut mungkin dapat mengelakkan nasib yang menimpanya hari ini.
Tujuh puluh tahun yang lepas, Colombo terkenal dengan Rancangan Colombo, satu badan antara-kerajaan yang melibatkan kawasan serantau untuk membangunkan sumber manusia di kawasan Asia Selatan dan Asia Tenggara, namun hari ini, Colombo dikenali sebagai tempat di mana Presidennya terpaksa melarikan diri selepas menang besar dalam pilihan raya dan di mana kediaman Perdana Menteri dan Menteri Kabinetnya dibakar.
Sekiranya kita ingin mengelakkan nasib yang telah menimpa Sri Lanka daripada berlaku kepada kita sebelum ulang tahun ke-100 negara, kita perlu merenung semula dan bermuhasabah untuk mencari di manakah silapnya kita sebelum ini dan bertanya mengapa kita masih belum berjaya untuk memenuhi potensi kita sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia, sebaliknya dikenali sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.
Antara kesilapan dasar dan prinsip pembinaan negara kita dalam tempoh setengah abad yang lalu – yang telah menyebabkan kita ditinggalkan di belakang semakin banyak negara, termasuklah dengan kemungkinan dipintas oleh Indonesia dan China dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International menjelang penghujung dekad ini – adalah:
- Kegagalan untuk menerima bahawa Malaysia adalah sebuah masyarakat majmuk dan bahawa kepelbagaian kita yang berbilang kaum, bahasa, budaya dan, agama adalah aset kita dan bukannya liabiliti.
- Ketidakpatuhan terhadap Artikel 8(i) Perlembagaan yang mengatakan bahawa “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama”, di mana tiada warganegara Malaysia kelas pertama, kedua atau kelas ketiga, sebaliknya kita semua adalah warganegara yang sama.
- Rasuah yang semakin teruk – kita telah meningkatkan pendapatan per kapita negara kita sebanyak 30 kali ganda dari tahun 1970 hingga ke hari ini, tetapi dalam tempoh yang sama, saiz skandal rasuah dan skandal kewangan telah meningkat lebih daripada 63,000 kali ganda, seperti yang dapat dilihat dari skandal Bank Rakyat yang melibatkan RM100 juta pada tahun 1979, skandal Bumiputera Malaysia Finance yang melibatkan RM2.5 billion pada tahun 1983, dan skandal 1MDB yang melibatkan RM50 billion dalam dekad yang lepas.
- Kemerosotan standard pendidikan dan kegagalan sasaran Pelan Tindakan Pendidikan untuk Malaysia berada di atas purata global dan berada dalam satu pertiga teratas negara dalam penilaian pendidikan antarabangsa.
- Penyelewengan dan penyalahgunaan Dasar Ekonomi Baru dan penerusannya selepas 1990 walaupun jangka hayat asalnya adalah hanya untuk 20 tahun.
- Diaspora Malaysia pertama di mana lebih dari sejuta rakyat Malaysia yang cemerlang berhijrah untuk menjadikan negara lain yang hebat dan bukannya Malaysia yang hebat.
- Masalah isu Pendatang Tanpa Izin di Sabah yang diberi hak mengundi yang telah berlanjutan selama lebih dari 50 tahun.
Saya telah menegaskan bahawa persoalan yang paling penting di Malaysia hari ini bukanlah mengenai siapa yang akan memenangi pilihan raya umum akan datang, sebaliknya, sama ada Malaysia akan menjadi negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam dekad-dekad yang akan datang atau kita mengelakkan nasib yang menimpa Sri Lanka dengan menetapkan semula dasar dan prinsip pembinaan negara.
Saya meninggalkan anda dengan soalan ini, yang merupakan cabaran kepada semua rakyat Malaysia dalam PRU15!
Adakah rakyat Malaysia mampu membawa Keajaiban Politik kedua dalam PRU15?