Bilakah Azam akan menamatkan kelumpuhan SPRM dalam skandal LCS?
Bilakah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, akan menamatkan kelumpuhan SPRM dalam menyiasat skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion?
Badan kehakiman telah memulakan proses untuk mengembalikan kredibiliti, keabsahan, dan integritinya. Bilakah SPRM pula akan berbuat demikian?
Saya telah meminta Azam untuk meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM apabila dia telah didapati memberikan dua cerita yang saling bercanggah mengenai siasatan SPRM terhadap skandal LCS.
Pada 11 Ogos 2022, SPRM telah mengeluarkan kenyataan mengatakan yang badan tersebut telah melengkapkan kertas siasatan terhadap individu yang dihubungkan dengan skandal LCS, dan kertas siasatan ini telah pun dihantar kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dan SPRM telah membuat cadangan mengenai pertuduhan apa yang patut dibawa terhadap individu-individu ini dan sedang menanti arahan selanjutnya selepas AGC meneliti kertas-kertas siasatan ini.
Pada pertengahan bulan Ogos, bekas pengarah urusan dan naib pengerusi eksekutif Boustead Heavy Industries Corp (BHIC), Ahmad Ramli Mohd Nor, didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah yang melibatkan RM21.08 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Namun, ketiga-tiga pertuduhan terhadap Ahmad Ramli ini adalah untuk perkara yang berlaku sebelum skandal LCS dan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan skandal ini, sebaliknya, berkaitan dengan perolehan ketenteraan yang berbeza.
Surat Anugerah (LOA) untuk membekalkan enam buat LCS pada nilai RM9 billion ini dikeluarkan pada 16 Disember 2011, tetapi ketiga-tiga tuduhan terhadap Ahmad Ramli adalah untuk perkara yang berlaku sebelum pengeluaran LOA ini.
Azam memilih untuk berpura-pura “pekak, buta, dan bisu” walaupun selepas kenyataan berulang-ulang saya meminta penjelasan darinya mengenai tiga pertuduhan terhadap Ahmad Ramli yang tidak berkaitan dengan skandal LCS dan sebaliknya adalah untuk projek perolehan ketenteraan yang berbeza ini.
Pada 8 September pula, Azam mengatakan yang SPRM memerlukan lebih banyak masa untuk menyiasat skandal LCS memandangkan SPRM memerlukan masa untuk memanggil lebih ramai saksi, termasuklah saksi yang berada di luar negara.
Bolehkah kita dapatkan jawapan dari Azam?
Rakyat Malaysia mahu bukan sahaja badan kehakiman, SPRM, dan institusi-institusi lain seperti Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suhakam, dan pihak Polis untuk memulihkan kredibiliti, keabsahan, dan integriti mereka, tetapi kita juga mahukan aspek lain seperti kebebasan akhbar dan hormat terhadap hak asasi manusia.
Dalam proses ini, mempertahankan kebebasan akhbar sepatutnya menjadi salah satu KPI utama Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Annuar Musa perlu masuk campur untuk menyelesaikan kes berkenaan kebebasan akhbar yang melibatkan NST dan The Edge, yang melibatkan ketua editor NST, Ahmad Lokman Mansor, dan bekas ketua editor The Edge, Azam Aris.