Adakah Rahmat Mohamad bersedia untuk mengadakan mesyuarat tergempar Pesuruhjaya Suhakam untuk merangka program khas Suhakam dengan garis masa untuk ratifikasi enam perjanjian antarabangsa yang merangkumi antaranya ICERD dan Statut Rom?
Memandangkan Pengerusi Suhakam, Rahmat Mohamad, telah mengatakan yang dia bukanlah menentang ICERD dan Statut Rom, adakah dia bersedia untuk mengadakan mesyuarat tergempar Pesuruhjaya Suhakam untuk merangka program khas Suhakam dengan garis masa untuk ratifikasi enam perjanjian antarabangsa yang merangkumi antaranya, Konvensyen Antarabangsa untuk Penghapusan Diskriminasi Perkauman (ICERD) dan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa?
Dalam program Suhakam ini, pesuruhjaya Suhakam perlulah mengadakan kempen untuk mendidik rakyat Malaysia, termasuklah semua parti-parti politik, untuk memahami yang ratifikasi enam perjanjian hak asasi manusia antarabangsa ini (termasuklah ICERD dan Statut Rom) tidak mempunyai apa-apa agenda anti-Melayu, anti-Islam, atau anti-Raja.
Pada masa ini, Malaysia, bersama dengan Brunei, adalah dua negara terakhir dari 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang masih belum meratifikasi ICERD yang mula dimeterai 57 tahun yang lepas pada tahun 1965.
Adakah Suhakam di bawah pimpinan Rahmat Mohamad merasakan yang Malaysia patut bersaing dengan Brunei untuk menjadi negara OIC yang terakhir yang meratifikasi ICERD?
Negara-negara Islam yang lain seperti Arab Saudi, Iraq, Iran, Syria, Bahrain, Turki, Mesir, dan Indonesia semuanya telah pun meratifikasi ICERD.
Adakah Suhakam merasakan yang hanya satu peratus populasi orang Islam dunia yang berada di Malaysia dan Brunei adalah Muslim sebenar manakala 99 peratus dari 1.9 billion orang Islam di seluruh dunia, yang berada di Arab Saudi, Iraq, Iran, Turki, Mesir, Indonesia dan negara-negara lain bukan Muslim sejati kerana Malaysia dan Brunei tidak meratifikasi ICERD?
Berapa lamakah yang diperlukan oleh Rahmat Mohamad untuk meyakinkan majoriti rakyat Malaysia, terutamanya parti-parti politik dalam negara, bahawa ratifikasi keenam-enam perjanjian hak asasi manusia antarabangsa dan Statut Rom ini tidak bersifat anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja?
Enam konvensyen antarabangsa ini adalah:
- Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman;
- Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik;
- Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial, dan Budaya;
- Konvensyen PBB menentang Penyeksaan;
- Konvensyen Antarabangsa Perlindungan Hak Pekerja Migran dan Ahli Keluarga mereka; dan
- Konvensyen Antarabangsa untuk Perlindungan Semua Orang daripada Penghilangan Paksa.