Adakah Hishammuddin telah berputus asa dengan idea RCI untuk menyiasat skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini?
“Tidak ada berita yang buruk” berkaitan dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS).
Kabinet telah bermesyuarat semalam dan Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, tidak ada membuat apa-apa pengumuman mengenai pembentukan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.
Bolehkah Hishammuddin menjelaskan mengapa dia telah berputus asa dengan idea RCI untuk menyiasat skandal LCS?
Pada 16 Ogos, Hishammuddin telah berjanji kepada Dewan Negara untuk membentangkan cadangan pembentukan RCI untuk menyiasat skandal LCS ini dalam mesyuarat Kabinet pada esok harinya.
Selepas mesyuarat Kabinet pada 17 Ogos 2022, Hishammuddin mengatakan yang dia telah memenuhi janjinya untuk membawa cadangan penubuhan RCI untuk menyiasat isu LCS kepada Kabinet, tetapi lebih banyak perbincangan dan masa diperlukan sebelum keputusan dapat dibuat.
Apabila ditanya mengenai jangka masa untuk keputusan kabinet, Hishammuddin mengatakan yang pada masa itu, Yang di Pertuan Agong berada di luar negara dan masih ada perkara yang perlu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet yang akan datang.
Pada hari Selasa, saya mengatakan kira-kira sebulan sudah berlalu, dan mesyuarat Kabinet semalam adalah mesyuarat Kabinet ketiga terakhir sebelum Dewan Rakyat bersidang semula pada 3 Oktober dan saya mengingatkan Hishammuddin mengenai RCI untuk skandal LCS ini.
Saya telah berikan Hishammuddin 20 sebab mengapa menjadi satu perkara berkepentingan awam untuk mengadakan RCI untuk menyiasat skandal LCS.
Audit forensik projek LCS ini – yang mempunyai tiga masalah: terhad kepada tempoh di antara 2011 – 2014, dihalang dari mengakses rekod semua program LCS, dan dihalang dari mengakses rekod-rekod Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) yang memainkan peranan penting dalam projek ini – mendapati:
- Terma kebanyakan LOA (Surat Anugerah) dan Ubahan Tempahan (Variation Orders) tidak mengutamakan kepentingan syarikat, sebaliknya lebih memihak kepada CAD/CED;
- Bukti penyelewengan dan ketiadaan tadbir urus yang berpatutan dikumpul seawal 2010, mengesahkan yang pihak vendor telah ditentukan sebelum pengeluaran LOA oleh Kerajaan Malaysia untuk BNS (Boustead Naval Shipyard);
- Walaupun pelbagai tanda soal telah dibangkitkan oleh bekas pegawai dan pegawai syarikat mengenai penyelewengan dalam pelaksanaan program LCS ini, tidak ada tindakan diambil oleh pihak pengurusan atau Pengerusi Lembaga Pengarah BHIC (Boustead Heavy Industries Corp) untuk menghentikan penyelewengan dan salah guna kuasa ini.
Sudah ada empat orang Perdana Menteri dan enam orang Menteri Pertahanan dalam 15 tahun yang lepas dan setiap seorang dari mereka ini boleh memberikan maklumat mengenai skandal LCS dengan memberikan keterangan di hadapan RCI ini.
Namun, tanggungjawab terhadap skandal LCS ini terletak kepada tiga orang bekas Menteri Pertahanan di antara tahun 2007 sehingga 2018.
Saya percaya yang dua orang Menteri Pertahanan ini, Najib Razak yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dari tahun 2009 sehingga 2018, dan Zahid Hamidi yang menjadi Menteri Pertahanan dari tahun 2009 sehingga 2013, perlu menanggung sebahagian besar tanggungjawab terhadap skandal LCS ini.
Adakah Hishammuddin yang menjadi Menteri Pertahanan di antara tahun 2013 sehingga 2018 juga mempunyai perkara yang ingin disembunyikan yang dia tidak mahu didedahkan oleh sebuah RCI yang menyiasat skandal LCS ini?
Sekiranya bapa Hishammuddin, Perdana Menteri ketiga Negara, Tun Hussein Onn, masih hidup hari ini, dia pastinya tidak mempunyai sebarang keraguan untuk membentuk RCI untuk menyiasat skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.
Tun Hussein telah membentang satu Kertas Putih di Parlimen pada tahun 1979 mengenai skandal Bank Rakyat yang melibatkan RM65 juta. Skandal LCS ini 140 kali ganda lebih besar berbanding dengan skandal Bank Rakyat pada tahun 1977, dan akan menjadi semakin besar sekiranya perolehan enam buah kapal ini memakan peruntukan yang lebih besar.
Adakah Hishammuddin ini berbeza dengan bapanya?