Kuasa gelap sudah keluar untuk menamatkan musim kebebasan di Malaysia
Pada 8 September, saya telah menulis:
“Burung sedang berkicauan, adakah ini tanda musim bunga kebebasan di Malaysia – tetapi adakah kebebasan ini akan dipadamkan seperti Kebangkitan Dunia Arab?
“Perkara ini terlintas di fikiran saya ketika saya menghirup nafas udara baharu.
“Kini, udaranya terasa kurang sesak, sebaliknya, terdapat perasaan lebih bebas, suatu keterbukaan, permulaan penetapan semula prinsip dan dasar pembinaan negara kepada seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia.
“Bolehkah kita kini berharap untuk melihat semakin sedikit rasuah dan salah guna kuasa, melihat kedaulatan undang-undang, kebebasan, dan hak asasi manusia dihormati, harga yang lebih rendah, gaji yang lebih tinggi, pengangkutan awam, sekolah, dan universiti yang lebih baik – memenuhi cita-cita sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia?
“Masih terlalu awal untuk dikatakan.”
Tidak sampai seminggu, kuasa-kuasa gelap ini telah keluar untuk menamatkan musim kebebasan di Malaysia ini.
Namun, adakah mereka akan berjaya?
Hari ini, akhbar The Vibes melaporkan yang “kuasa gelap” ini sedang bertindak dalam satu laporan yang bertajuk: “NST group editor set to be culled following alleged UMNO interference?”, yang telah mengatakan:
“Difahamkan, Editor Kumpulan New Straits Times, Ahmad Lokman Mansor, akan dibuang dari jawatannya dan diberikan pilihan sama ada untuk kembali ke meja bisnes akhbar bahasa Inggeris itu atau meninggalkan syarikat tersebut.”
Pasukan The Vibes melaporkan:
“Ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin hampir, kuasa politik didakwa terus campur tangan dalam pelantikan petugas media utama dalam usaha untuk mempengaruhi naratif yang memihak kepada kempen mereka.
“Terkini, kes melibatkan penukaran Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Ahmad Lokman Mansor daripada jawatannya, berikutan dakwaan campur tangan ‘orang besar’ UMNO iaitu mantan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Difahamkan, Lokman akan digantikan oleh Farrah Naz Karim menjelang 1 Oktober dengan beliau diberi pilihan sama ada kembali ke meja bisnes akhbar bahasa Inggeris itu atau meninggalkan syarikat tersebut.”
Lapan hari yang lepas, saya telah mengatakan “kini kita dapat melihat cahaya di penghujung terowong kegelapan yang menyelubungi negara dengan perasaan putus asa dan kekecewaan” dengan pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, atas kesalahan rasuah, dan sabitan bersalah isterinya, Rosmah Mansor, juga atas tuduhan rasuah.
Namun, saya memberikan amaran: “Namun, terdapat unsur yang kuat yang cuba untuk mengembalikan suasana suram dan perasaan putus asa terhadap rakyat Malaysia yang mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
“Sama ada usaha jahat ini akan berjaya atau tidak akan bergantung kepada kebolehan rakyat Malaysia untuk meneruskan usaha jangka masa panjang ini.
“Namun, pucuk-pucuk pohon Malaysia Baharu sudah mula bercambah.”
Saya telah merujuk kepada satu editorial New Straits Times yang bertajuk “Of Laws and men”, yang mengakui bahawa “dalam tahun-tahun yang lepas, di Malaysia, kita ada kerajaan personaliti, dan bukannya undang-undang” dan juga artikel di Malaysiakini oleh seorang wartawan yang lama berkhidmat dengan The Star yang bertajuk “Why there is no saving Rosmah”.
Tindakan dari “kuasa-kuasa gelap” penindasan ini memang sudah dijangkakan, persoalannya kini adalah sama ada Malaysia dan para pengamal media dalam negara dapat ditakutkan atau merupakan pelari jarak jauh dalam memperjuangkan kebebasan media untuk melindungi para reformis untuk membawa perubahan dan mendapatkan kualiti kehidupan yang lebih baik.
Pemimpin UMNO menunjukkan yang dalam Pilihan Raya Umum ke-15, isu yang akan diserang mereka adalah kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman, perang terhadap rasuah, dan kebebasan media.
Jaminan untuk kebebasan media oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri, pada minggu lepas telah dihina melalui tindakan NST ini.
Adakah dia berkemampuan untuk melakukan apa-apa perkara untuk memastikan yang kata-katanya mempunyai kesan?