Kerajaan patut berikan Najib rawatan yang terbaik semasa dalam penjara, hak yang sepatutnya diberikan kepada semua banduan
Saya setuju sepenuhnya dengan anak Najib, Nooryana Najwa, dan menyeru kerajaan untuk memberikan rawatan perubatan yang terbaik kepada Najib Razak semasa dia berada dalam penjara, satu hak yang juga patut diberikan kepada semua banduan di Malaysia.
Perdana Menteri, Ismail Sabri, telah mengarahkan Kementerian Kesihatan untuk memberikan Najib rawatan yang terbaik seperti yang diperlukan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah telah menafikan yang Najib sakit serius.
Dia mengatakan, Najib dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari Jumaat, 9 September 2022 sebagai satu kes elektif untuk memastikan kesihatannya berada dalam “keadaan baik dan optimum”, penilaian dan ujian telah dijalankan oleh pakar kanan yang merupakan ketua klinik masing-masing dan pihak pengurusan HKL juga telah mengadakan persidangan keluarga (family conference) dua kali bersama dengan bekas perdana menteri tersebut bersama dengan keluarganya.
Semua pakai bersetuju yang dia patut dibenarkan keluar dari HKL.
Saya percaya dengan ketua pengarah kesihatan dan doktor pakar di HKL berbanding dengan kisah dramatik Najib yang kononnya berubah dari Perdana Menteri yang paling sihat, seorang “Bossku” yang menjaga kesihatan dirinya, kepada tiba-tiba pesakit tenat yang menerima rawatan yang tidak baik di penjara – sebab yang sama mengapa saya tidak percaya dengan tukang propaganda Najib yang mendakwa dia dipenjarakan kerana tidak adanya kedaulatan undang-undang dan kebebasan cabang kehakiman di Malaysia.
Kini kelihatan seperti Najib dan tukang propagandanya telah berputus asa untuk mempertahankan Najib dari kes rasuah 1MDB, sebaliknya menumpukan usaha mereka untuk mengatakan yang dia dinafikan keadilan oleh pihak mahkamah.
Adakah kerana ini Presiden UMNO, Zahid Hamidi, tidak hadir sebagai seorang saksi dalam perbicaraan Najib untuk menyatakan apa yang dikatakannya secara terbuka pada Ogos 2015 yang kononnya dia telah berjumpa dengan keluarga kaya dari Arab yang mendermakan RM2.6 billion kepada Najib – atau adakah sebenarnya kerana Zahid telah menipu mengenai perjumpaan ini?
Tambahan lagi, sekiranya benar ada derma sebanyak RM2.6 billion atas kekaguman mereka terhadap dasar-dasar pemerintahan Najib, mengapa tidak ada seorang pun saksi dari Arab atau kenyataan dari pihak mereka mengenai perkara ini dalam perbicaraan Najib?
Keputusan tukang propaganda dan tentera siber Najib untuk menumpukan usaha kepada isu keadilan dalam perbicaraan Najib dan juga isu pengampunan, dengan meninggalkan isu 1MDB di belakang, telah membawa fokus kepada dua perkara – isu kedaulatan undang-undang dan isu pengampunan.
Berita mengenai prosiding rujukan pada esok hari untuk menghormati mantan Ketua Hakim Salleh Abas yang meninggal dunia pada tahun lepas amatlah signifikan.
Tradisi penghormatan dan bermakna ini, yang unik kepada cabang perundangan, diadakan untuk memperingati ahli bidang perundangan yang telah pergi.
Perkara ini menandakan kali kedua prosiding rujukan diadakan di Istana Kehakiman, kali pertama diadakan untuk Almarhum Sultan Azlan Shah pada 20 November 2014. Sultan tersebut mangkat pada usia 86 tahun pada 28 Mei 2014.
Untuk hampir tiga dekad sejak 1988, cabang kehakiman berada di bawah ketidaktentuan dengan dakwaan campur tangan dari pihak eksekutif terhadap kedaulatan undang-undang. Namun sejak 2018, cabang kehakiman telah memainkan peranan yang penting untuk menetapkan semula dasar negara untuk mengembalikan dasar pembinaan negara kepada dasar-dasar dan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
Kenyataan Sultan Selangor semalam yang menyatakan “sokongan kuat” baginda kepada kenyataan Yang di Pertuan Agong bahawa pengampunan diraja tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya.
Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad, telah bertitah bahawa kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan kelak di “hari kemudian”.
Baginda bertitah: “Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil nescaya keadilan tidak akan tercapai, kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda,
“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten akibatnya pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa.”
Selari dengan keperluan menegakkan undang-undang dalam kes ini, Sultan Selangor telah menarik semula darjah-darjah kehormat yang dianugerahkan kepada Najib dan isterinya Rosmah Mansor yang dianugerahkan di negeri tersebut.
Penting untuk diingati bahawa masih belum ada sebarang komen dari pihak UMNO mengenai pemerhatian pemerhati UMNO yang mengatakan: “Dalam hari-hari awal UMNO, sukar untuk mencari jutawan dalam kalangan ketua bahagian UMNO. Selepas hampir enam dekad kemerdekaan, sukar pula untuk mencari ketua bahagian UMNO yang bukan seorang jutawan.”
Adakah UMNO ini memang tidak mampu untuk kembali kepada semangat perjuangan dan pengorbanan yang ditunjukkan pemimpinnya dalam dekad-dekad terawal parti ini, di mana pemimpin UMNO akan menjadi antara yang terawal yang mengecam rasuah dan skandal kewangan seperti skandal 1MDB?