Penjelasan Pengerusi Suhakam bahawa dia bukan penentang ICERD dan Statut Rom dialukan-alukan, kerana saya jangka Suhakam akan berhadapan masalah sekiranya dipengerusikan oleh seorang Pengerusi yang menentang hak asasi manusia
Penjelasan Pengerusi Suhakam, Rahmat Mohamad, bahawa dia bukan penentang ICERD dan Statut Rom dialukan-alukan, kerana saya jangka Suhakam akan berhadapan masalah sekiranya dipengerusikan oleh seorang Pengerusi yang menentang hak asasi manusia.
Dia mengatakan yang sebab dia menjadi penulis bersama satu kertas yang membantah ratifikasi Statut Rom pada tahun 2019 adalah kerana dia merasakan yang kerja-kerja persediaan yang sepatutnya belum dibuat ketika itu.
Dia mengatakan: “Orang salah faham saya, (mereka fikir) yang saya ini penentang Statut Rom. Bukan, bukan macam itu. Saya tidak pernah menentang (hukuman) terhadap empat jenayah besar tersebut.”
Semasa Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum 2018, PH ingin meratifikasi beberapa perjanjian antarabangsa, termasuklah Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom.
Rahmat mengatakan, bagus untuk Pakatan Harapan mahu Malaysia dikenali sebagai negara yang mengutamakan hak asasi manusia, tetapi beberapa proses perlulah dipatuhi terlebih dahulu sebelum memeterai perjanjian antarabangsa.
Kebimbangan dia adalah pada masa ini, negara kita masih belum menjalani proses-proses ini dan oleh itu, dia anggap negara masih belum bersedia untuk memeterai perjanjian-perjanjian ini.
Ini juga merupakan pendirian saya ketika itu.
Saya telah katakan bahawa Malaysia tidak sepatutnya meratifikasi ICERD sehinggalah majoriti kaum dan agama di Malaysia menyokongnya dan memahami yang konvensyen ini tidak menjadi ancaman kepada pelbagai kaum, agama, atau Perlembagaan Malaysia, sebaliknya merupakan satu langkah ke hadapan untuk kita menyertai dunia dalam mempromosikan hak asasi manusia.
Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi, dan Presiden PAS, Hadi Awang, adalah antara pemimpin politik Melayu yang memberikan amaran yang orang Melayu akan mengamuk sekiranya ICERD diratifikasi oleh Kerajaan Malaysia pada penghujung tahun 2018.
Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, telah mengatakan bahawa wajib untuk orang Islam menentang ICERD.
Presiden PAS ini adalah Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, tetapi adakah dia tidak sedar bahawa daripada 57 negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), hanya Malaysia dan Brunei – yang mewakili hanya satu peratus dari 1.9 billion populasi orang Islam di seluruh dunia – yang belum meratifikasi ICERD?
Adakah Hadi mengatakan yang hanya satu peratus dari 1.9 billion orang Islam di seluruh dunia yang berada di Malaysia dan Brunei yang layak untuk dipanggil orang Islam sebenar?
Perkara ini hanyalah satu lagi contoh pandangan politik dan agama oleh Hadi yang tidak rasional, bersifat ekstremis, dan melampau, seperti mana kenyataannya baru-baru ini yang mengatakan orang bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca rasuah di Malaysia.
Saya berada di China dalam lawatan ketika kegagalan ICERD pertama kali meletus pada akhir tahun 2018.
Pada 19 November, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan bahawa ratifikasi ICERD akan memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang merupakan “perkara mustahil untuk dilakukan” tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen.
Pada 24 November 2018, dalam ucapan di Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Jiansu Malaysia di Souchou, China, saya mengatakan bahawa tidak ada sesiapa pun rakyat Malaysia yang mahu negara kita meratifikasikan ICERD jika harga untuk berbuat demikian adalah satu lagi rusuhan perkauman seperti 13 Mei di negara kita. Kerana tidak ada sebarang keraguan bahawa terdapat unsur-unsur yang tidak bertanggungjawab yang cuba menghasut dan meningkatkan syak wasangka, permusuhan dan kebencian antara kaum dan agama untuk menimbulkan keadaan yang boleh mencetus satu rusuhan perkauman.
Sepanjang isu ICERD ini pada penghujung tahun 2018, DAP tidak tahu-menahu apa-apa memandangkan menteri dan pemimpin DAP tidak dimaklumkan mengenai perkara ini, tetapi, DAP juga yang dituduh sebagai “kuasa gelap” anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja yang mendesak ratifikasi ICERD.
Kerana inilah saya sudah berkali-kali mencabar Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah, untuk menjelaskan asal usul kekecohan mengenai isu ICERD ini dan menjelaskan bagaimana menteri dan pemimpin DAP langsung tidak terlibat dalam perkara ini.
Perkara ini menjadi satu pengajaran pahit kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan – politik toksik penipuan, kebencian, perkauman, dan bersifat keagamaan, yang digerakkan semasa kekecohan mengenai isu ICERD pada tahun 2018 ini, akhirnya membawa kepada konspirasi Langkah Sheraton pada Februari 2020 untuk menumbangkan sebuah kerajaan yang dipilih secara sah dan menggantikannya dengan sebuah kerajaan pintu belakang yang tidak sah dan tidak demokratik, mewujudkan “defisit kepercayaan” gergasi yang terus menghantui institusi politik negara.
Paling kurang apa yang boleh dilakukan Rahmat Mohamad sekarang sebagai pengerusi Suhakam yang baharu adalah untuk menebus dirinya dan Suhakam dengan mengambil langkah untuk memulihkan negara kita dari episod kekecohan mengenai ICERD dan Statut Rom pada tahun 2018 dan 2019.