Azam Baki patut letak jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM memandangkan dia telah menyatakan dua cerita yang bertentangan mengenai siasatan SPRM terhadap skandal LCS yang melibatkan RM9 billion
Azam Baki patut letak jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandangkan dia telah menyatakan dua cerita yang bertentangan mengenai siasatan SPRM terhadap skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion.
Pada 11 Ogos 2022, SPRM mengeluarkan kenyataan yang badan tersebut telah melengkapkan siasatannya ke atas individu yang dikaitkan dengan skandal LCS ini, dengan kertas siasatan sudah pun diserahkan ke Pejabat Peguam Negara (AGC) dan SPRM telah membuat cadangan mengenai tuduhan yang patut difailkan terhadap individu-individu ini dan sedang menanti arahan seterusnya selepas AGC meneliti kertas siasatannya.
Dalam beberapa hari kemudian, SPRM membiarkan rakyat Malaysia untuk percaya yang tuduhan akan dibuat terhadap individu dalam skandal LCS.
Dalam pertengahan bulan Ogos, bekas pengarah urusan merangkap naib pengerusi eksekutif Boustead Naval Shipyard (BNS), Ahmad Ramli Mohd Nor, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah (CBT) yang melibatkan RM21.08 juta di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Namun, ketiga-tiga pertuduhan terhadap Ahmad Ramli ini berasal dari sebelum skandal LCS dan tidak mempunyai kaitan dengan skandal ini, sebaliknya berkaitan dengan projek perolehan ketenteraan yang lain.
Surat Anugerah (LOA) pembekalan enam buat LCS pada nilai RM9 billion dikeluarkan pada 16 Disember 2011 tetapi ketiga-tiga tuduhan terhadap Ahmad Ramli ini adalah untuk perkara yang berlaku sebelum LOA ini dkeluarkan.
Walaupun dengan kenyataan berulang saya meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menjelaskan mengapa tiga pertuduhan terhadap Ahmad Ramli ini tidak berkaitan dengan skandal LCS, Azam memilih untuk berpura-pura “pekak, buta, dan bisu”, membiarkan orang terpedaya dengan gambaran yang kononnya ketiga-tiga tuduhan terhadap Ahmad Ramli adalah berkaitan dengan skandal LCS.
Bagaimanapun, pada 8 September, Azam mengatakan yang SPRM memerlukan lebih banyak masa untuk menyiasat skandal LCS ini kerana SPRM memerlukan masa untuk memanggil lebih ramai saksi, termasuklah beberapa orang yang berada di luar negara.
Apakah sebabnya untuk kenyataan bercanggah dari SPRM ini – mengatakan pada 11 Ogos yang SPRM telah melengkapkan siasatannya sebelum menyanggah kenyataan ini pula pada 8 September dengan mengatakan yang SPRM memerlukan lebih banyak masa untuk menyiasat skandal LCS ini?
Adakah Azam akan terus berpura-pura “pekak, buta, dan bisu” dalam perkara ini?
Bolehkah Azam Baki menjelaskan mengapa SPRM gagal mengambil tindakan terhadap sesiapa pun mengenai skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini walaupun mereka telah menerima dua laporan siasatan mengenai skandal ini – laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) LCS yang dipengerusikan oleh Ketua Audit Negara ketika itu, Ambrin Buang, dan laporan audit forensik perolehan LCS (2011-2014) yang dilaksanakan oleh Alliance IFA (M) Sdn. Bhd. bagi pihak Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) – yang mengandungi pelbagai perkara yang boleh membawa pertuduhan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, salah laku, dan penipuan?
Adakah SPRM telah mencadangkan supaya Presiden UMNO, Zahid Hamidi, didakwa di mahkamah kerana mengubah keputusannya sendiri sebagai Menteri Pertahanan pada tahun 2011 yang dicadangkan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) – untuk menempah enam buah LCS Sigma buatan Belanda – kepada memilih LCS Gowind buatan Perancis dari pengeluar Scorpene tanpa merujuk dahulu perkara ini dengan pihak TLDM sebagai pengguna akhir kapal-kapal ini?