JPK Agensi di Jabatan Perdana Menteri perlu membuktikan nilai mereka dengan memanggil Ketua SPRM, Azam Baki, untuk memberikan penjelasan mengapa dia bermain permainan “buta, pekak, dan bisu” terhadap skandal RM9 billion LCS
Dua hari lepas pada hari Jumaat, saya telah mencadangkan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Agensi di Jabatan Perdana Menteri untuk bermesyuarat segera dan memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, untuk menjelaskan mengapa SPRM gagal mengambil tindakan terhadap sesiapa mengenai skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion walaupun mereka telah menerima dua laporan siasatan mengenai skandal ini – laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) LCS yang dipengerusikan oleh Ketua Audit Negara ketika itu, Ambrin Buang, dan laporan audit forensik perolehan LCS (2011-2014) yang dilaksanakan oleh Alliance IFA (M) Sdn. Bhd. bagi pihak Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHI)C – yang mengandungi pelbagai perkara yang boleh membawa pertuduhan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, salah laku, dan penipuan.
Setakat ini, Azam telah memberikan alasan lemah yang SPRM memerlukan lebih banyak masa untuk menyiasat projek LCS yang bermasalah ini kerana beberapa orang saksi yang ingin dipanggil SPRM berada di luar negara.
Perkara ini bukanlah satu penjelasan yang boleh diterima memandangkan laporan JKSTUPKK ini telah pun disiapkan pada 20 Ogos 2019 manakala laporan audit forensik ini pula telah pun siap pada bulan Julai 2020, menunjukkan yang SPRM mempunyai banyak masa untuk dan tidak ada sebab untuk SPRM memerlukan lebih banyak masa.
Saya telah bertanya mengenai kesunyian Azam terhadap persoalan berulang-ulang saya yang menanyakan mengapa tiga pertuduhan terhadap bekas pengerusi Boustead Naval Shipyard (BNS), Ahmad Mohd Nor, pada bulan lepas, hanya berkaitan dengan perkara yang terjadi sebelum skandal LCS dan tidak berkaitan dengan skandal ini, dan mengapakah SPRM masih belum bertindak terhadap sesiapa pun mengenai skandal ini.
Saya juga bertanya Azam, mengapa SPRM tidak bertindak lebih awal lagi memandangkan perolehan LCS ini bermula lebih dari sedekad yang lepas, ketika zaman Najib Razak masih menjadi Menteri Pertahanan dalam Kabinet Abdullah Badawi.
Saya juga bertanya, sama ada SPRM telah menyoal siasat Najib mengenai skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.
Namun setakat ini, langsung tidak ada sebarang jawapan dari Azam untuk persoalan mengenai skandal LCS ini!
JPK Agensi di Jabatan Perdana Menteri perlulah membuktikan nilai mereka dan menunjukkan bahawa mereka ini bukanlah hanya satu “harimau di atas kertas” dengan memanggil Ketua SPRM, Azam Baki, untuk memberikan penjelasan mengapa dia bermain permainan “buta, pekak, dan bisu” terhadap skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.
JPK ini juga perlu bertanya kepada SPRM mengapa SPRM telah gagal untuk menyiasat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, untuk rasuah, pengubahan wang haram, dan pengelakkan cukai.
Hadi telah gagal untuk menjelaskan penyelesaian saman yang bernilai RM1.4 juta di antaranya dengan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.
Saman ini berlaku susulan dakwaan Rewcastle Brown pada tahun 2016 yang UMNO telah memberikan PAS rasuah sebanyak RM90 juta untuk mendapatkan sokongan parti Islam tersebut dalam pilihan raya umum ke-14.
Saman ini akhirnya diselesaikan di luar mahkamah, dengan Hadi membayar Rewcastle Brown RM1.4 juta pada tahun 2019.
Namun terdapat satu persoalan, memandangkan Pengerusi JPK Agensi di Jabatan Perdana Menteri adalah seorang Ahli Parlimen PAS – sama ada dia akan membenarkan isu berkenaan Presiden PAS ini untuk dibangkitkan oleh JPK ini.