Azam tidak boleh terus berpura-pura tidak nampak atau dengar dan memilih untuk mengabaikan persoalan penting mengenai ketelusan, akauntabiliti, dan keberkesanan SPRM
Semalam, saya mencabar alasan lemah yang diberikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, yang mengatakan bahawa SPRM memerlukan lebih banyak masa untuk menyiasat projek kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion.
Azam telah mengatakan dalam satu sidang media pada hari Khamis yang badan anti rasuah tersebut memerlukan lebih banyak masa untuk memanggil lebih ramai saksi, termasuklah beberapa orang yang kini berada di luar negara.
Saya mengatakan, Azam jelas sekali mempunyai masalah “pengurusan masa” memandangkan SPRM telah ada lebih dari sedekad sebelum ini untuk mengambil tindakan.
Saya bertanya mengenai kesunyiannya terhadap persoalan berulang saya yang bertanya mengapa tiga pertuduhan terhadap bekas pengerusi Boustead Naval Shipyard (BNS), Ahmad Mohd Nor, pada bulan lepas adalah untuk perkara yang berlaku sebelum skandal LCS, tidak berkait dengan skandal ini dan sebaliknya adalah mengenai perolehan ketenteraan yang berlainan, dan mengapa SPRM masih belum mengambil tindakan terhadap sesiapa mengenai skandal LCS ini.
Saya juga bertanya Azam mengapa SPRM gagal mengambil tindakan terhadap sesiapa pun walaupun SPRM telah menerima kedua-dua laporan mengenai skandal LCS – laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) LCS yang dipengerusikan oleh Ketua Audit Negara ketika itu, Ambrin Buang, dan laporan audit forensik perolehan LCS (2011-2014) yang dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd bagi pihak Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) – yang mengandungi pelbagai perkara yang boleh membawa kepada pertuduhan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, salah laku, dan penipuan.
Saya juga bertanya Azam, mengapa SPRM tidak bertindak lebih awal lagi memandangkan perolehan LCS ini bermula lebih dari sedekad yang lepas, ketika zaman Najib Razak masih menjadi Menteri Pertahanan dalam Kabinet Abdullah Badawi.
Saya juga bertanya, sama ada SPRM telah menyoal siasat Najib mengenai skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.
Namun, langsung tidak ada sebarang jawapan dari Azam untuk persoalan mengenai skandal LCS ini!
Azam berharap untuk membunuh soalan-soalan ini dengan mengabaikannya, seperti mana dia dapat mengabaikan isu pemilikan sahamnya dengan mengabaikan persoalan yang dibangkitkan oleh pakar ekonomi politik, Edmund Terence Gomez, yang mengatakan sudah tiba masanya untuk SPRM mempunyai hubungan yang terpisah dengan cabang eksekutif kerajaan, terutamanya dalam perkara berkaitan pelantikan pesuruhjaya tertinggi badan ini.
Malaysia tidak mahu mempunyai seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM yang “buta, pekak, dan bisu”, yang tidak berani untuk mempertahankan integriti SPRM, sebaliknya kita mahu seorang Ketua Pesuruhjaya yang boleh menjawab semua persoalan mengenai ketelusan, akauntabiliti, dan keberkesanan SPRM dalam melawan rasuah di Malaysia dan mengambil tanggungjawab terhadap kedudukan Malaysia yang semakin buruk dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) terbitan Transparency International (TI) sejak 1995.
Mengapakah semua orang kini menjangkakan markah dan kedudukan terburuk dalam TI CPI 2022 dan adakah ini juga jangkaan SPRM?
Sudah tiba masanya untuk Azam sedar yang dia tidak boleh terus bermain permainan “buta, pekak, dan bisu” dan memilih untuk mengabaikan soalan-soalan penting mengenai ketelusan, akauntabiliti, dan keberkesanan SPRM.