Tiga senario untuk Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang
Salah satu perkara yang sering disebutkan di Malaysia hari ini adalah mengenai bilakah Pilihan Raya Umum ke-15 akan diadakan – dari seawal dalam masa sebulan dari sekarang, sehinggalah kepada suatu masa dalam tahun hadapan.
Sekiranya Perdana Menteri Ismail Sabri membubarkan Parlimen selepas Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2023 pada 7 Oktober 2022, dia akan mencontohi perbuatan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membubarkan Parlimen semasa perbahasan Belanjawan 2000 pada 10 November 1999 untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-10 pada 29 November 1999.
Perkara ini adalah satu perkara yang buruk dan tidak patut dicontohi, dan saya gesa Ismail Sabri untuk tidak menuruti langkah sebegini dalam membina satu masa hadapan baharu untuk Malaysia.
Terdapat banyak contoh-contoh tauladan buruk yang terjadi dalam 65 tahun sejarah negara dan perkara ini adalah salah satu daripadanya.
Perkara ini merupakan satu bentuk salah guna kuasa Perdana Menteri dan sekiranya Ismail Sabri menasihat Yang di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen selepas 7 Oktober, Yang di Pertuan Agong patut menasihati Perdana Menteri untuk memberikan Parlimen masa untuk membahas dan meluluskan Belanjawan 2023 terlebih dahulu, melainkan satu usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri disokong oleh Dewan Rakyat.
Saya menjangkakan tiga senario yang mungkin berlaku untuk Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang.
Senario pertama adalah kemenangan besar untuk UMNO, namun siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri ke-10 – Ismail Sabri atau Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, atau Timbalan Presidennya, Mohamad Hassan, atau dua calon tidak dijangka – Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein?
Selepas suatu tempoh, adakah Najib Razak akan kembali sebagai Perdana Menteri ke-11?
Sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 membawa kepada kemenangan besar UMNO dan pembentukan kerajaan UMNO, maka bekas Perdana Menteri Najib Razak mungkin akan dibebaskan dari penjara dan semua kes rasuah terhadapnya dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain akan digugurkan.
Namun, apa yang lebih utama lagi, perkara ini akan menandakan berakhirnya kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman, dan Malaysia akan berada dalam hala tuju menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara gagal.
Senario kedua pula adalah kemenangan besar untuk Pakatan Harapan dengan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, dengan penerusan semula usaha reformasi institusi dan negara selepas Kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan secara tidak sah dan tidak demokratik melalui konspirasi Langkah Sheraton selepas 22 bulan pada bulan Februari 2020.
Senario ketiga pula adalah keadaan di mana tidak ada satu pun gabungan politik yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan, apatah lagi untuk mempunyai majoriti dua pertiga, dan Malaysia akan mula berhadapan dengan pengalaman politik baharu yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
Hanya masa yang akan menentukan senario yang manakah yang akan terjadi selepas Pilihan Raya Umum ke-15, baik sama ada diadakan pada tahun ini, atau tahun hadapan.
Dalam kata lain, Pilihan Raya Umum ke-15 ini akan menjadi satu perjuangan hidup-mati untuk UMNO, kedaulatan undang-undang, dan masa depan Malaysia itu sendiri.